Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Polis memantau dengan lebih dekat kegiatan pengganas secara ‘lone wolf’ dan ‘wolf packs’ yang boleh mengancam keselamatan negara, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, berbeza dengan gerakan pengganas seperti Daesh, kegiatan pengganas itu tidak mempunyai rangkaian dengan mana-mana sel militan dan lebih kepada gerakan kumpulan kecil iaitu enam ke tujuh anggota.

‘Lone Wolf’ adalah kegiatan pengganas yang bergerak secara bersendiri manakala ‘wolf packs’ pula bergerak dalam kumpulan kecil dan tidak mempunyai jaringan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

“Kami pantau untuk memastikan kami dapat gagalkan serangan sebelum mereka melancarkannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan Star Sterling Service Award 2019 kepada Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak 2013 sehingga kini Bahagian E8 berjaya mematahkan 24 plot cubaan untuk melancarkan serangan pengganas dalam negara. – MalaysiaGazette