Nazri Aziz Senators Dewan Negara anti-party hopping Dewan Rakyat
Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengakui kerajaan BN sebelum ini bersedia untuk mematuhi kehendak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Namun, ia tidak diteruskan atas nasihat pelbagai pihak termasuklah peguam negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Jelas Nazri, Abdul Gani ketika itu berkeras agar pertimbangan untuk meratifikasi Status Rom dirujuk pada majlis raja-raja.

“Memang kita merasakan, kita cuba patuhi dengan keperluan kehendak PBB tetapi apabila kita mendapat pelbagai pandangan daripada pelbagai pihak berkenaan kedudukan perlembagaan kita, berkenaan hak raja-raja Melayu.

“Jadi dalam Perlembagaan ini sekiranya ada perkara yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agung, mesti dirujuk dengan raja-raja Melayu terlebih dahulu, kalau mereka bersetuju baru kita boleh buat kalau mereka tak setuju, tak boleh buat,” kata Nazri seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Pada 27 Mei 2010, Nazri ketika itu memaklumkan kesediaan Malaysia untuk menjadi sebahagian dari negara pihak ICC.

Keputusan tersebut dibuat ketika menghadiri Perhimpunan Perunding Ahli Parlimen untuk ICC dan Peraturan Undang-Undang di Kempala, Uganda.

Pada 18 Mac 2011, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk Malaysia tandatangan dan ratifikasi Statut Rom, tetapi ia tidak diteruskan.

Ahli parlimen Padang Rengas juga berkata Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan Britain atau negara-negara beraja yang lain.

“Jemaah Menteri boleh buat keputusan apa saja yang kita fikirkan boleh. Kita berkuasa. Tapi apabila ada kaitan dengan hak Raja-Raja Melayu, itu kita kena rujuk kepada Majlis Raja-raja,” katanya.

Untuk rekod, pada 5 Ogos 2015, Jemaah Menteri sekali lagi bersetuju supaya Jabatan Peguam Negara membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk meratifikasi Statut Rom bagi membolehkan Malaysia membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kes penembakan jatuh Malaysia Airlines MH17 ke ICC.

Namun, tiada sebarang tindakan susulan diambil pada ketika itu. Mohamed Apandi Ali merupakan peguam pegara ketika itu.

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penarikan Malaysia keluar daripada menyertai Statut Rom.

Dr. Mahathir berkata, keputusan itu adalah kerana kekeliruan yang dicipta oleh individu tertentu “yang hendak memukul orang sesuka hati dan melakukan perkara seperti itu” .

Perdana Menteri menegaskan penarikan itu dibuat bukan kerana perjanjian tersebut membahayakan negara.

Sebaliknya, Dr. Mahathir mendakwa terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan serta untuk memburuk-burukkan kerajaan PH dan diri beliau sendiri selaku perdana menteri, menggunakan isu Statut Rom dengan mendakwa kerajaan telah menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing. – MalaysiaGazette