KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berseloroh mengatakan beliau tidak mempunyai klon Siam apabila menjawab persoalan ‘kehilangannya’ di Parlimen hari ini ketika Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali membentangkan Kertas Putih Felda di Dewan Rakyat.
Jelas Najib, beliau tidak dapat menghadiri sesi pembentangan tersebut kerana berada di Mahkamah Persekutuan hari ini.
“Kerajaan Pakatan Harapan yang dakwa saya macam-macam, berpuluh kali sehingga saya perlu (berada) di mahkamah hampir setiap hari.
“Minggu ini saya hampir tiap-tiap hari di mahkamah termasuk hari ini di mana mahkamah sekali lagi tolak permintaan saya untuk mendapat dokumen-dokumen penting untuk pembelaan saya.
“Lepas tu, PH tanya pulak mengapa saya tak ada di Dewan Rakyat!
“Peliknya, si Azmin ni. Saya tak ada klon Siam lah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambah Najib, jika tidak berada di mahkamah sekali pun, beliau masih perlu menghadiri sesi perbincangan dengan peguam mengenai kes-kes yang melibatkannya.
Katanya, jika mempunyai masa lapang beliau akan memanfaatkannya untuk membaca laporan media dan merangka hantaran Facebooknya.
“Lagipun, tidak ada seorang pun yang menghalang Azmin guna media sosial dia untuk menjawab posting saya.
“Untuk maklumat Azmin, media sosial bukan hanya boleh digunakan untuk muat-naik gambar-gambar melancong, gambar bilik air atau gambar makan-makan sahaja,” katanya.
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak tiga permohonan interlokutori Najib berhubung kes pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Kes berkenaan membabitkan tujuh tuduhan yang dikenakan ke atas Najib membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn bhd.
Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Richard Malanjum sebulat suara menolak tiga rayuan itu selepas mendapati hakim Mahkamah Tinggi dan panel Mahkamah Rayuan tidak tersilap ketika menolak rayuan terbabit.
Turut bersidang, Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Hakim Mahkamah Persekutuan Ramly Ali dan Idrus Harun.- MalaysiaGazette