KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dilabel sebagai MO1 manakala Tan Sri Isa Samad pula mendapat jolokan FO1 – keda-dua individu ini dirumuskan sebagai punca Felda menanggung liabiliti yang tinggi.
Malah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih Felda menyifatkan keputusan mereka meneruskan pembaziran dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran sebagai jenayah dan durjana.
“Dato’ Seri Najib Razak yang dikenali sebagai MO1 selepas ini, yang merupakan Menteri Kewangan pada ketika itu, terlibat dalam proses pelaburan ini dengan memberi arahan untuk menyegerakan transaksi tersebut dengan pembiayaan oleh Kementerian Kewangan.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Kesan tindakan durjana ini menyebabkan FELDA menanggung liabiliti yang tinggi,” katanya.
Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA)” itu dibentangkan bersandarkan kepada tiga perkara pokok iaitu:
- Keperluan diberi penjelasan mengenai isu yang dihadapi oleh FELDA serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan memastikan kebajikan peneroka terus dibela oleh Kerajaan;
- Mengambil maklum cabaran dan pemasalahan peneroka, hasil penemuan audit forensik ke atas lapan (8) pelaburan yang dilaksanakan oleh FELDA dan anak syarikat serta prestasi kewangan FELDA, termasuk implikasi perjanjian pajakan tanah, pinjaman kepada peneroka dan pulangan pelaburan; dan
- Meluluskan dan merestui usaha Kerajaan untuk melaksanakan pelan pemulihan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah kelestarian FELDA seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 6 Tahun 2019.
Azmin di peringkat awal pembentangan membacakan sejarah Felda bermula dengan 616 peneroka perintis pada tahun 1958 di Lurah Bilut, Pahang dan sehingga kini Felda telah membangunkan 112,635 peserta di 317 tanah rancangan dengan keluasan 490,000 hektar.
Beliau kemudiannya menyenaraikan kerugian demi kerugian dialami Felda sehingga kedudukan baki tunai institusi itu terus menjunam menjadi RM35 juta sahaja pada 9 Mei 2018 sambil mengaitkannya dengan kecuaian pelaburan dan dana politik.
“Kekangan aliran tunai ini telah menyebabkan Felda tidak mampu menampung perbelanjaan operasi, kos penanaman semula dan bantuan serta pinjaman untuk peneroka,” katanya.
Beliau berkata, audit forensik mendapati konflik kepentingan dalam pengurusan amat ketara apabila Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang beliau gelar sebagai FO1 memegang jawatan Pengerusi dalam FELDA, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan FGV Holdings Berhad.
Pada masa yang sama, FO1 juga memegang jawatan Pengerusi untuk 39 anak syarikat di bawah FELDA dan FGV.
“Konflik kepentingan bertambah buruk apabila FO1 juga mempunyai kuasa eksekutif sebagai Pengerusi FELDA.
“Sebagai contoh, pembelian Park City Grand Plaza Kensington di London dibuat oleh FO1 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA dengan harga yang melebihi kadar pasaran dan gagal mengikut dasar pelaburan yang FO1 membeli aset ini pada harga RM331 juta sedangkan harga pasaran ketika itu hanyalah RM128 juta,” katanya.