Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berdoa selepas menunaikan solat hajat pada Munajat Perdana sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di BN Command Centre, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 12 APRIL 2019

PRK RANTAU – Hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Barisan Nasional (BN) dan Pas memanjatkan doa agar Datuk Seri Mohamad Hasan diberikan kemenangan esok.

“Sesungguhnya besok hari kami bakal untuk menghadapi PRK bagi DUN rantau ini. Ya Allah! Sesungguhnya hambamu ya Allah Datuk Seri Mohamad Hasan akan menjadi wakil kepada kami sekalian.

“Kami pohonkan kepadamu ya Allah kami minta kepadamu ya Allah kami mohon pertolongan dan juga kan tanda padamu ya Allah kurniakanlah kemenangan kepada kami ya Allah,” demikan doa yang dibacakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir sebelum itu mengimamkan solat Maghrib dengan lebih 100 jemaah.

Ini kali pertama BN-Pas dilihat berbuat demikian dan tidak kelihatan di mana-mana PRK sebelum ini.

Dalam doa itu juga, Jamil Khir turut memohon agar Mohamad diangkat semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.

“Dengan kemenangan daripada mereka-mereka yang menjadi penentang dan musuh-musuh Allah, kami mengharapkan keramu ya Allah kau lembutkan hati hati kami ya Allah kau kuatkanlah seluruh jentera jentera, Kau kuatkanlah seluruh daripada akar kan penyokong dan pendokong pendokong kami ya Allah ya Allah ya Tuhan kami engkaulah Tuhan,” doa beliau.

Esok, sejumlah 20,804 pengundi akan menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih ADUN Rantau yang baharu.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram; calon BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu.

Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. -MalaysiaGazette