Saksi, Pengurus Bank Negara, Ahmad Farhan Sharifuddin (kiri) bersama Pegawai Bank Negara Mohammad Nizam Yahya hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2019.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa penggeledahan dilakukan di bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan selepas terdapat arahan untuk menyiasat satu kesalahan yang disyaki dilakukan di bank berkenaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, berkata beliau diarah untuk menjalankan siasatan itu oleh Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM Abdul Rahman Abu Bakar.

“Arahan dikeluarkan untuk melakukan siasatan terhadap Ambank Group bagi satu kesalahan yang disyaki di Bahagian 4 akta berkenaan.

“Justeru itu, saya mengarahkan satu penggeledahan dibuat di bangunan Ambank dikendalikan pegawai penggeledah, Azizul Adzani Abdul Ghafar pada 6 Julai 2015,” kata saksi keempat pendakwaan itu yang berkhidmat di BNM sejak 15 April 2011.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Bila kamu dapat tahu tentang rampasan yang dilakukan oleh Azizul Adzani

Ahmad Farhan: Saya mengetahui mengenai rampasan itu pada 7 Julai 2015.

Ahmad Farhan, yang juga pegawai penyiasat, berkata pihak BNM telah menyita beberapa barangan dan dokumen susulan siasatan itu.

“Selain itu, ada juga dokumen berkaitan akaun yang disita melalui senarai carian pada 6 Julai 2015,” katanya.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata beliau juga menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Mei 2018 untuk mengemukakan beberapa dokumen dalam simpanan Bank Negara.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung petang ini.

— BERNAMA