Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) ditemani isterinya, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali bergambar kenangan bersama kanak-kanak dari Kelab Pencinta Alam pada Sambutan Hari Bumi@Taman Tugu di Taman Tugu Nursery, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 APRIL 2019

KUALA LUMPUR –  Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan berjaya sebagai sebuah negara maju sekiranya gagal mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemeliharaan alam semula jadi dan mengekalkan persekitaran sedia ada.

Perdana Menteri berkata memelihara alam dan persekitaran semula jadi untuk generasi hari ini dan akan datang merupakan tanggungjawab persendirian serta kolektif, dan tanggungjawab itu perlu dilaksanakan secara berterusan dalam apa keadaan sekalipun.

“Kita telah melihat kesan akibat daripada pembangunan yang tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

“Perlu kita sedari, usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan-bangunan pencakar langit tetapi sungai-sungai kita tercemar, hutan belantara kita hanya tinggal tanah yang tandus dan udara yang kita hirup teruk tercemar,” katanya semasa berucap pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Dr Mahathir diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

Mengulas sambutan Hari Bumi atau dikenali Earth Day yang disambut pada 22 April setiap tahun, Dr Mahathir berkata kesedaran dalam menjaga alam sekitar perlu diterapkan dan dikongsi semua lapisan masyarakat.

Katanya sambutan Hari Bumi yang diadakan di Taman Tugu, sebuah taman rimba seluas 26.7 hektar yang terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur juga simbolik yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan fizikal yang seimbang dengan pembangunan alam sekitar.

“Taman Tugu ini wujud sebagai bukti kepada komitmen kita untuk memastikan pembangunan yang seimbang iaitu pembangunan fizikal yang beriringan dengan pemeliharaan alam sekitar.

“Saya difahamkan bahawa kira-kira 4,000 batang pokok hutan hujan asli Malaysia telah ditanam di sekitar Taman Tugu ini.”Ini adalah tambahan kepada kira-kira 1,000 batang pokok asal di sini yang terpelihara. Kerana itu pemilihan tapak Taman Tugu untuk sambutan Hari Bumi pada tahun ini cukup bermakna dan amat simbolik,” katanya.

Projek Taman Tugu juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pencinta alam menerusi program pendidikan awam yang dijalankan khususnya pada hujung minggu, katanya.

“Saya turut diberitahu bahawa sejak dibuka kepada orang ramai pada bulan Ogos 2018, Taman Tugu telah berjaya menarik kira-kira 30,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Pastinya, jika setiap pengunjung yang datang ke Taman Tugu dapat membawa balik mesej yang sama kepada ahli keluarga dan rakan taulan masing-masing mengenai pentingnya memelihara alam sekitar dan mempertahankan kawasan hijau, saya percaya peningkatan kesedaran itu akan akhirnya menjadi sesuatu yang spontan dan tidak lagi perlu kepada sebarang kempen dan peringatan,” kata Dr Mahathir.

Antara program yang diadakan bersempena sambutan Hari Bumi termasuk jelajah rimba berpandu, bengkel berbasikal, zumba, dan persembahan artis terkenal Zainal Abidin.

Projek Taman Tugu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat Khazanah Nasional Berhad dengan sokongan beberapa kementerian dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

Setakat ini kira-kira 16.18 hektar daripada keseluruhan 26.7 hektar termasuk denai rimba sepanjang 4 kilometer telah dibuka kepada orang ramai secara percuma setiap hari, bermula pukul 7 pagi sehingga 6.30 petang.

Baki kawasan 10.52 hektar lagi, ia akan dibangunkan dengan tapak perkhemahan, ruang acara, surau Jumaat dan kuil Hindu yang akan dibuka secara berperingkat bermula tahun ini hingga awal tahun depan.

Tapak Taman Tugu ini akan diserahkan kepada Amanah Warisan Negara (AWAN) untuk diurus dan dilindungi sebagai kawasan hijau awam.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast