Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Hakim kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menolak hujah peguam bela untuk siaran secara langsung perbicaraan tersebut pada masa kini.

Malah beliau menegaskan sebarang rakaman video prosiding mahkamah tidak boleh sesekali dimuat naik serta dikongsikan selepas ini.

Jelas beliau, laporan polis mengenai tindakan bekas pegawai Najib memuat naik video berdurasi 12 saat pada hari ke-5 perbicaraan Khamis lepas telah pun dibuat dan perkara tersebut kini dalam siasatan.

“Perlu saya ingatkan di sini, sebarang bentuk rakaman CRT diberikan kepada pasukan pendakwaan dan pembelaan adalah untuk menyediakan nota prosiding. Ia bukan untuk disiarkan atau dimuatnaik media sosial.

“Malah, masyarakat turut diingatkan untuk tidak membuat sebarang komen atau ulasan yang boleh memprejudiskan kes selepas ini. Seandainya ini berlaku, perbuatan ini dianggap sebagai menghina mahkamah.

“Sebarang pelanggaran boleh menyebabkan mahkamah tidak lagi memberikan rakaman berkenaan kepada kedua-dua pihak,” tegas beliau.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan saksi pendakwaan kelapan, pemilik  syarikat Syadilah Enterprise,  Daud Mohamed, 53, yang merupakan seorang kontraktor untuk memberi keterangan kerja-kerja selanggara pendingin hawa, pendawaian serta atap bocor selain pembinaan dua tangki air.

Kelmarin Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil memuat naik rakaman transkrip video Court Recording and Transcription (CRT) perbicaraan Najib menerusi akaun Facebook beliau.

Isham yang merupakan bekas pegawai khas Najib mempersoalkan di manakah dalam peraturan mahkamah dinyatakan tidak boleh memuatnaik rakaman CRT perbicaraan awam dalam Facebook atau di media sosial atau di mana-mana media. –MalaysiaGazette