Pesawat F-35

MOSCOW – Rusia memberi isyarat kesediaannya untuk menjual pesawat perang kepada Turki jika Amerika Syarikat (AS) memberhetikan penghantaran jet pejuang, F-35.

Ketua Rosoboronexport (eksport), Alexander Mikheev berkata, Rusia sedia untuk mengadakan perbincangan kemungkinan penjualan itu, menurut agensi berita Interfax.

“Jika Turki memohon kepada kami perundingan, kami bersedia melakukan rundingan dengan Russian United Aircraft Company dalam skop itu,” tambah beliau.

Pada 28 Mac lalu, AS mengumumkan ia telah menggantung penghantaran jet pejuang stealth generasi kelima, F-35 ke Turki berikutan rancangan Ankara untuk membeli sistem peluru berpandu darat ke udara, S-400 buatan Rusia.

Dua pesawat F-35 pertama dihantar ke Turki pada Jun tahun lalu dan juruterbang telah memulakan latihan di Pengkalan Udara Luke di Arizona.

Pada awal bulan ini, Turki menerima dua lagi pesawat F-35.

Kini juruterbang Turki masih meneruskan latihan dan pesawat tersebut akan ditempatkan di pengkalan udara Malatya, Turki pada November ini.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar berkata, negaranya tidak bimbang dengan ancaman AS dan mempunyai Rancangan B jika AS terus menghalang penghantaran pesawat F-35 dan menamatkan urusniaga itu.

“Kami mempunyai rancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang,” kata Akar. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast