Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersalaman dengan penduduk di kawasan Nanga Lasi, Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

DALAM pilihan raya umum lalu, bekas menteri paling muda dalam Kabinet Sarawak ketika era kepimpinan bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud ini berjaya mencatat keputusan mengejut!

Beliau menewaskan bekas Menteri Luar dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Joseph Salang Gandum, dengan majoriti 1,931 undi dalam merebut kerusi Parlimen Julau.

Larry Sng Wei Shien, 39, yang juga bekas Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), berjaya meraih 10,105 undi, manakala Salang mendapat 8,174 undi. Beliau yang bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi tersebut dalam pertandingan satu lawan satu.

Larry pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, meneruskan legasi politik bapanya, Datuk Sng Chee Hua, seorang ahli perniagaan terkenal.

MGF05042019_PROGRAM LAWATAN MESRA YB JULAU03
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berucap pada Program Lawatan Mesra ke Klinik Kesihatan Julau di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

Berkelulusan dari London School Of Economics, beliau juga pernah mencuri tumpuan ramai apabila mengambil keputusan untuk mengahwini May Ting, anak jutawan terkenal dari Sarawak, Tan Sri Ting Pek Khiing tidak lama dulu.

Beliau yang menyertai PKR hanya kira-kira tiga hari selepas pilihan raya lalu kini adalah wakil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti tersebut.

Menariknya, baru-baru ini nama beliau kembali menjadi sebutan apabila muncul sebagai wakil rakyat paling kaya di Sarawak setelah mengisytiharkan aset sebanyak RM11.8 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka kata saya wakil rakyat paling kaya di Sarawak, tetapi kalau nak dibandingkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), saya mungkin wakil rakyat paling miskin,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui Malaysia Gazette di kawasan parlimennya di Julau, Sarawak baru-baru ini.

MGF05042019_YB JULAU RAMAH MESRA PENDUDUK09
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berkata sesuatu kepada penduduk di kawasan Nanga Lasi, Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

Ironinya, di saat pelbagai pihak memperkatakan mengenai kekayaan beliau, hasil penyelidikan mendapati konstituensi Pakan antara tujuh daripada sepuluh daerah yang termiskin di Malaysia. Untuk rekod, Pakan terletak di bawah parlimen Larry.

Baru-baru ini sebuah laporan akhbar dipetik sebagai berkata, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Rina Harun Rina mendedahkan Pakan antara daerah termiskin di Malaysia dengan pendaftaran pendapatan isi rumah RM2,760 sebulan. Selain Pakan, Lubok Antu, Song, Kanowit, Selangau, Simunjan dan Daro turut tersenarai dalam 10 daerah termiskin di negara ini.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Larry berkata, beliau sangat terkejut bila dimaklumkan mengenai perkara tersebut. Beliau juga tidak mahu kekayaannya dihubungkaitkan dengan laporan berkenaan.

MGF05042019_PROGRAM LAWATAN MESRA YB JULAU05 (1)
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berucap pada Program Lawatan Mesra ke Klinik Kesihatan Julau di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

” Memang dalam laporan itu, kawasan Pakan yang terletak dalam Parlimen saya dikatakan paling miskin dalam Malaysia. Sebenarnya bila baca laporan itu saya terkejut! Kalau berbanding dengan kawasan-kawasan yang lain, nak diukur dari segi jalan, memang ada jalan di sana walaupun mungkin tak semua. Penduduknya juga ada ladang, ada tanam kelapa sawit, ada mengusahakan ladang getah walaupun harga komoditi berkenaan mula jatuh.

“Apa pun sebagai wakil rakyat, saya sentiasa cuba membantu dan sentiasa berjuang dalam usaha untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka. Isu sama ada saya kaya atau tidak itu tidak berbangkit sama sekali. Cuma saya nak tanya, kalau betul Pakan paling miskin, yang selama ini 60 tahun kerajaan negeri memerintah, apa yang mereka buat?,” tegasnya.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam dunia politik, Larry berkata, beliau menganggap ia adalah rezeki yang datang dari Tuhan.

Katanya, ketika itu beliau baru berumur 21 tahun dan baru menamatkan pengajiannya di England.

MGF05042019_PROGRAM LAWATAN MESRA YB JULAU08
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien meluangkan masa melihat keadaan adik Edil Madnor yang menerima rawatan pada Program Lawatan Mesra ke Klinik Kesihatan Julau di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

Menurutnya, pada suatu hari, beberapa pemimpin parti menelefonnya dan meminta beliau menggantikan ayahnya yang ketika itu hendak mengundurkan diri sebagai wakil rakyat.

Kebetulan ayahnya memang mahukan beliau mengambil peluang ini untuk menjadi calon dalam pilihan raya bagi menggantikannya.

“Ketika itu saya fikir ini satu perkara yang berat. Bukan soal menang atau kalah, tetapi mampukah saya menunaikan tanggungjawab kepada pengundi andainya ditakdirkan saya menang. Rakyat akan cari wakil rakyat untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka.

“Selepas berfikir dalam dua minggu saya akhirnya bersetuju. Lagipun ketika itu saya dah tamat belajar, saya pun nak cari kerja juga.

“Bila masuk politik, saya rasa makin lama saya semakin rapat dengan rakyat. Pada yang tua, saya ibarat anak kepada pengundi saya, dengan orang muda, saya ibarat abang buat mereka. Dalam diam tak diam, rupanya sudah 18 tahun saya terlibat secara serius dan secara langsung dalam dunia politik,” katanya.

MGF05042019_PROGRAM LAWATAN MESRA YB JULAU07
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bergambar kenangan bersama wakil-wakil jawatankuasa kampung yang menerima bantuan cek pada Program Lawatan Mesra ke Klinik Kesihatan Julau di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

Dalam parti PKR sendiri, nama Larry agak ‘hangat’ apabila terpilih sebagai Ahli MPP parti itu pada Kongres Nasional PKR Ke-13 pada November lalu.

Kemuncaknya bunyi boo bergema dalam dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor sewaktu Larry menerima watikahnya.

Bunyi boo itu dibuat oleh sebahagian daripada 2,000 perwakilan dipercayai akibat kontroversi Pemilihan PKR di Cabang Julau, Sarawak susulan pertambahan mendadak ahli di Cabang tersebut daripada 600 ahli kepada 13,000 ahli dalam tempoh singkat.

Pertambahan ahli itu didakwa memberi kemenangan kepada calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menyaingi penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin.

MGF05042019_PROGRAM LAWATAN MESRA YB JULAU09
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien beramah mesra dengan salah seorang wanita yang hadir menerima rawatan pada Program Lawatan Mesra ke Klinik Kesihatan Julau di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

“Tujuan saya masuk politik bukanlah untuk ‘bermain berpolitik’, tetapi lebih kepada untuk membantu rakyat yang miskin, untuk membantu rakyat yang sakit…pangkat dan jawatan semua tu saya tidak berminat sangat.

“Kalau ada yang nak lawan saya, saya tidak akan sekat mereka untuk berbuat demikian. Sebab itu saya boleh bekerja dengan ramai orang politik walaupun adakalanya dalam politik kita berhadapan dengan ‘conflict of interest’,” katanya ringkas.

Mengulas mengenai perpindahannya daripada seorang ADUN ke Parlimen, Larry berkata, sejujurnya beliau tidak pernah bermimpi untuk menjadi seorang Ahli Parlimen.

Katanya, selepas 2011, beliau tidak diberi peluang oleh parti lamanya untuk menjadi calon dalam pilihan raya.

MGF05042019_YB JULAU RAMAH MESRA PENDUDUK04
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien beramah mesra dengan sebahagian penduduk kawasan berhampiran di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

“Namun pada 2018, ada penyokong saya di Julau ini mencari dan meminta saya bertanding di situ. Saya pun akhirnya buat keputusan untuk bertanding atas kerusi Bebas. Bayangkan ketika itu saya hanya ada masa kira-kira lima bulan saja menjelang pilihan raya.

“Saya pernah ada pengalaman bertanding di Lubuk Antu dulu, ketika itu saya ambil masa dekat setahun juga untuk mengenali penduduk di sana. Jadi kalau tanya saya, memang saya pada mulanya tak begitu yakin dan berani mengatakan yang saya akan menang di sini (Julau), tetapi bila saya mengunjungi rumah-rumah panjang, saya dapati mereka menerima saya dengan baik.

“Ternyata ramai penduduk Julau nak mengubah senario politik di tempat mereka. Akhirnya, mungkin kerana pengundi di Julau percaya dengan prinsip politik saya, mereka memberikan kemenangan pada saya walaupun ketika itu saya bukan datang dari parti kerajaan dan saya tak ada parti pun sebenarnya. Lagipun bapa saya mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik, jadi mereka percaya saya akan meneruskan kecemerlangan beliau,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah beliau menyimpan cita-cita ‘lebih tinggi’ apabila mengambil keputusan untuk bertanding di kerusi Parlimen, beliau enggan mengulas mengenainya.

Sebaliknya Larry berkata, beliau bagaimanapun kini semakin selesa dan gembira dengan apa yang dilaluinya.

MGF05042019_YB JULAU RAMAH MESRA PENDUDUK05
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien beramah mesra dengan sebahagian penduduk kawasan berhampiran di Pekau Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

“Saya tak tahu sama ada saya boleh pergi hingga dilantik menjadi Menteri dan sebagainya, bagi saya masa itu belum sampai. Dulu masa saya jadi ADUN, semua isu-isu tempatan saya perlu tangani seperti isu air, isu tanah, isu sungai, isu PBT tapi bila jadi Ahli Parlimen benda dah tak sama.

“Sekarang kita berbincang mengenai dasar luar negara, dasar negara, isu geopolitik dan ini sangat mengujakan saya. Ia memberi cabaran yang baru dalam karier politik saya. Saya sangat gembira sebenarnya,” tambah Larry.

Mengenai isu beliau tidak tinggal di Julau sebaliknya tinggal di Kapit dan selalu berada di Kuala Lumpur, beliau menjelaskan, ia tidak pernah menimbulkan masalah kerana yang penting khidmatnya ‘sampai’ bila rakyat memerlukan bantuannya.

Ujar Larry, beliau juga tidak menghadapi kesukaran untuk bergaul dengan penduduk tempatan walaupun majoriti daripada mereka adalah orang Iban/Dayak.

MGF05042019_YB JULAU RAMAH MESRA PENDUDUK12
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bergambar kenangan dengan penduduk di kawasan Nanga Lasi, Julau, Sarawak. foto AFFAN FAUZI, 05 APRIL 2019

“Tak penting di mana saya tinggal tetapi yang penting saya mampu memberikan perkhidmatan yang diperlukan. Saya seorang berketurunan Cina manakala di kawasan saya hampir 96 peratus orang Iban/Dayak. Selama 18 tahun dalam politik, saya dah berasimilasi dengan mereka.

“Saya sekarang tak rasa macam saya orang Cina. Bila saya pergi rumah panjang, saya anggap saya sama dengan mereka. Saya tak tengok kulit dan saya tak pernah anggap saya lebih pandai daripada mereka.

“Walaupun saya bukan dari Julau sebab rumah saya di Kapit, tetapi ramai sanak saudara mereka yang duduk di Julau tinggal di Kapit. Begitu juga ramai sanak saudara mereka yang menetap Kapit berada di Julau, itu bukan satu halangan.

“Kami ibarat satu keluarga yang besar dan sebagai wakil rakyat yang telah diberikan kepercayaan oleh para pengundi, saya gembira bila dapat membantu mereka terutama dalam bab meningkatkan taraf hidup warga parlimen ini,” katanya bersungguh-sungguh. – MalaysiaGazette