KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM42 juta kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk pembayaran bantuan musim tengkujuh kepada 70,000 pekebun kecil negeri itu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, isu pembayaran bantuan musim tengkujuh kepada pekebun kecil di Sabah telah
dibangkitkan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan LIGS.
Ini kerana, LIGS telah membuat rayuan terhadap takrifan pekebun kecil di Sabah seharusnya merangkumi pengusaha getah dengan keluasan kebun enam hektar dan ke bawah yang melibatkan lebih 70,000 pekebun getah.
“Setelah diteliti perkara ini, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk meluluskan rayuan LIGS dan akan menyediakan peruntukan tambahan yang dianggarkan sebanyak RM42 juta kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sabah untuk menyelaras pembayaran bantuan RM600 tersebut kepada 70,000 pekebun kecil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan bantuan musim tengkujuh sebanyak RM200 sebulan untuk 3 bulan (November 2018, Disember 2018 dan Januari 2019) kepada pekebun kecil getah di seluruh Malaysia melalui RISDA melibatkan peruntukan sebanyak RM165 juta dan hampir 275,000 pekebun kecil, iaitu pengusaha getah dengan keluasan kebun 2.5 hektar dan ke bawah.
Jumlah penerima tersebut termasuk 6,000 pekebun kecil yang terdaftar dengan RISDA di Sabah. – MalaysiaGazette