KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan penglibatan baginda dalam program Santai Teh Tarik bersama Empat Putra Mahkota seperti tertera dalam poster yang tular di media sosial baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Sulit kepada Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Mestika hari ini.

“Penggunaan gambar DYTM Raja Muda Selangor tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali.

“Justeru, rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak istana,” kata kenyataan tersebut.

Semalam, sebuah laman portal melaporkan, Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengumumkan suatu ‘sesi teh tarik’ bersama empat putera mahkota akan diadakan.

Lokman didakwa menyebarkan suatu poster menyatakan majlis yang dikatakan itu akan berlangsung di Melaka pada Isnin dengan dihadiri empat putera mahkota dari Johor, Selangor, Pahang dan seorang lagi putera yang tidak dinamakan.

Beliau turut menjemput orang ramai hadir beramai-ramai pada majlis itu selain boleh berswafoto dengan putera mahkota berkenaan.

Bagaimanapun, sejam kemudian Lokman menghantar satu lagi maklumat di aplikasi Whatsapp menyatakan majlis itu tidak dapat dilangsungkan. – MalaysiaGazette