Tommy Thomas Anwar Ibrahim PM
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memandang serius isu beberapa telefon bimbit termasuk milik Peguam Negara Tommy Thomas dan beberapa menteri digodam.

Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memberikan maklumat yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Apabila melibatkan individu penting seperti Peguam Negara dan menteri, ia melibatkan kepentingan kerajaan. Kita bimbang perkara ‘classified’ (rahsia) itu akan dikongsikan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ia akan memberikan kesan tidak baik kepada negara dan kerajaan.

“MCMC (SKMM) perlu membuat kajian lebih terperinci, bagaimana isu tersebut boleh berlaku, kerana ia melibatkan kepentingan kerajaan. Kes ini di bawah siasatan polis dan kita sedia memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya laporan sebuah portal berita hari ini bahawa Cawangan Khas mengesahkan beberapa telefon bimbit, termasuk milik Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar dikatakan digodam minggu lepas dan laporan polis dibuat mengenai perkara itu.

Eddin Syazlee berkata teknologi sentiasa berkembang dengan pantas dan SKMM perlu lebih berhati-hati untuk memastikan isu godam tidak berlaku pada masa akan datang.

“Perkara yang berlaku ini adalah di luar jangkaan. Saya ingat kita perlu bersedia mempertingkatkan teknologi supaya isu yang sedemikian dapat ditangani dengan baik pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast