Netflix mengesahkan telah memperolehi hak untuk membikin mini siri operasi dramatik penyelamatan 12 kanak-kanak dan seorang jurulatih pasukan bola sepak di sebuah gua di utara Thailand tahun lepas.

“Kisah itu menggabungkan terlalu banyak tema unik tempatan dan universal yang menghubungkan manusia di semua peringkat kehidupan dari seluruh dunia.

“Thailand adalah sebuah pasaran yang sangat penting kepada Netflix dan kami tidak sabar untuk membawakan sebuah kisah tempatan tetapi mendapat perhatian dunia untuk tatapan umum,” kata Pengarah Antarabangsa Netflix, Erika North.

Pasukan bola sepak Wild Boars yang berusia di antara 11 hingga 16 tahun itu terperangkap bersama seorang jurulatih mereka yang berusia 25 tahun ketika meneroka sebuah kompleks gua di Chiang Rai pada 23 Jun tahun lalu sebelum hujan lebat menenggelamkan terowong di dalam gua berkenaan.

Operasi menyelamat yang mengambil masa selama 17 hari itu telah menghimpunkan pakar-pakar dan sukarelawan dari seluruh dunia.

“Kami mahu bekerjasama dengan semua pihak yang terlibat bagi memastikan kisah yang diceritakan itu tepat,” kata pembantu jurulatih Ekkapol “Ake” Chantapong.

Mini siri itu akan diarahkan oleh pengarah filem Crazy Rich Asians, Jon M. Chu dan Nattawut “Baz” Poonpiriya.

Netflix dan SK Global Entertainment memperolehi hak penerbitan mini siri berkenaan daripada 13 Thamluang, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kanak-kanak tersebut bersama jurulatih mereka.

Setakat ini, dua buah buku mengenai operasi penyelamatan itu telah diterbitkan manakala sebuah filem yang diarahkan oleh pengarah British-Thai, Tom Waller bertajuk The Cave telah selesai pengambaran pada Disember lalu.- Agensi