PARIS – Paris Saint Germain (PSG) dikatakan bersedia menawarkan pakej pendapatan mingguan yang lumayan untuk David de Gea sekiranya menyertai kelab Perancis itu.
Kelab terkaya Ligue 1 itu meletakkan penjaga gol Manchester United itu sebagai calon utama menggantikan Gianluigi Buffon.
Starsports difahamkan PSG sanggup menawarkan penjaga gol warga Sepanyol itu kontrak jangka panjang dengan gaji mingguan sebanyak 450,000 pound.
De Gea masih belum memuktamadkan untuk memperbaharui kontrak untuk bersama United walaupun beberapa siri rundingan telah diadakan sebelum ini.
Khabar angin mendakwa pemain itu menuntut gaji mingguan setinggi 300,000 pound untuk kekal di Old Trafford.
Malah pemain itu juga antara bintang yang mengugut pengurusan the Red Devils dan pengurusnya, Ole Gunnar Solskjaer akan meninggalkan kelab sekiranya gagal layak kancah Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Real Madrid juga mengintai gerak geri De Gea selain Juventus dan Borussia Dortmund turut mengikuti perkembangan pemain itu. – MalaysiaGazette