KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh menghulurkan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat lebih banyak tangkapan terhadap golongan elit politik yang terlibat dengan rasuah.
Presiden Penaja Parti Anti Rasuah, Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, beliau faham kesukaran yang dihadapi SPRM untuk membuat lebih banyak tangkapan kerana kerumitan mensabitkan penjenayah rasuah di bawah akta rasuah yang memerlukan pembuktian kukuh dan sukar dibuktikan.
Bagaimanapun, kata beliau, LHDN boleh membantu dengan menggunakan sebaiknya peruntukan undang-undang yang ada untuk menyiasat dan mencari penjenayah terbabit melalui cara hidup, pemilikan harta dan keluarga yang jauh melebihi pendapatan serta imbuhan yang sah.
“LHDN harus tampil membantu, mengambil sikap proaktif menggunakan peruntukan undang-undang di bawah agensi mereka yang jauh lebih luas sebenarnya dari akta rasuah di bawah SPRM.
“Saya berharap lebih banyak lagi tangkapan dibuat terhadap elit politik yang rasuah ini dan yakin jumlah mereka besar serta jumlah wang negara yang mereka curi juga amat besar,” katanya yang turut mengalu-alukan penangkapan seorang Ahli Parlimen dan isterinya oleh SPRM semalam.
Mohamad Ezam berkata, sudah menjadi rahsia umum elit politik itu mempunyai gaya hidup mewah, banglo ala istana dalam dan luar negara, anak hidup bergaya dengan kereta mahal di kota London, Melbourne, Perth dan kota besar lain di dunia.
“Golongan elit politik ini juga perlu diburu, selain pegawai tinggi kerajaan dan agensi serta badan berkanun dan GLC mesti juga dipertanggunjawabkan,” katanya.
Sementara itu, beliau menyambut baik dan menyokong keputusan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantik Datuk Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.
Ujarnya, Hamid mempunyai rekod luar biasa melawan bekas perdana menteri kleptokrat pada ketika itu dan berani berkorban.
“Pelantikan beliau adalah berita baik bagi pejuang yang berani berkorban demi kepentingan negara dan ini petanda baik bagi negara menuju sebuah negara yang bersih dari jenayah rasuah dan kecurian harta negara,” katanya. – MalaysiaGazette