KUALA LUMPUR- Adakah hanya dengan satu peristiwa sahaja menjadi punca Islam terancam di bawah Pakatan Harapan (PH)?

Itu persoalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa menjawab dakwaan Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin.

“Walaupun demikian sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, kenyataan itu bagi saya agak mengelirukan.

“Persoalan asas adalah berkisar tentang isu laporan polis dari orang awam terhadap saudara Zamri Vinoth yang dikatakan ‘menghina’ agama Hindu.

“Adakah hanya dengan satu peristiwa ini menyebabkan satu hukum umum dirumuskan seperti menyatakan Islam terancam di bawah PH?

“Bukankah saudara Zamri Vinoth ditahan untuk membantu siasatan? Lagipun belum ada sebarang pertuduhan di Mahkamah untuk mendakwa saudara Zamri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan kenapa sesuatu yang masih belum dipastikan menjadi asas penilaian bahawa Islam di Malaysia ketika pentadbiran PH terancam.

Bagaimanapun yakin Mohd. Asri yang lebih dikenali sebagai Maza itu menegur kerajaan PH tentang kedudukan Islam dikatakan terancam berniat murni.

“Saya juga yakin status Facebooknya yang ingin mendapatkan pandangan orang ramai mungkin untuk menilai prestasi kerajaan baru selama setahun ini,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast