SEREMBAN – Seorang lelaki bertindak memecahkan cermin pintu masuk sebuah bank di Jalan Lama Port Dickson, dekat sini, pagi tadi selepas berang apabila kad banknnya tidak dikembalikan oleh mesin juruwang automatik (ATM).

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dalam kejadian pukul 11.30 pagi, lelaki berusia 47 tahun itu bertindak membuat kacau dengan membaling dan memijak tong sampah sehingga kemek sebelum memecahkan pintu masuk bank.

“Pada awalnya kejadian ini berpunca kerana kad ATM suspek telah ditelan mesin ATM. Pihak bank kemudiannya menyerahkan semula kad ATM kepada suspek, tetapi suspek bagaimanapun mengganggu pelanggan lain yang berurusan dengan bank.

“Sehubungan itu pihak Bank hadir ke balai membuat laporan polis. Kerugian yang dialami oleh pihak bank dianggarkan kira-kira RM2,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Port Dickson menahan suspek di Jalan Lama Bandar Port Dickson pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang berasal dari Kampung Arab, Port Dickson mengaku memecahkan cermin pintu bank itu. Mengikut rekod suspek juga pernah ditangkap tahun lepas atas kesalahan pecah cermin sebuah kedai makanan segera,” katanya dan menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA