KOTA BHARU – Bulan puasa tidak menjadi penghalang kepada pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, menjalani latihan demi mencapai impiannya untuk terus mencipta rekod peribadinya dalam Malaysia Books Of Records (MBOR) buat kali kelima bulan hadapan.

Bezanya kali ini, beliau yang mesra dipanggil Pak Wan akan cuba meletakkan namanya sebagai “Lelaki Warga Emas Tertua Melakukan Kayuhan Solo Terpantas Mengelilingi Semenanjung” bermula 22 Jun.

Misi kayuhan kelimanya itu melibatkan jarak sejauh 2,400 kilometer (KM) akan dihabiskan dalam tempoh lebih singkat iaitu selama 15 hingga 20 hari berbanding 30 hari dalam misinya sebelum ini.

“Kali ini saya mahu mencabar diri untuk mencatat masa terpantas iaitu selama 15 hari mengelilingi Semenanjung Malaysia berbanding 30 hari dalam misi kayuhan sebelum ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini yang turut dihadiri Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Ab Rahim.

Pak Wan berkata bagi memastikan beliau menamatkan misi dalam tempoh 15 hari beliau akan melakukan kayuhan dengan purata jarak 120 km hingga 130 km sehari.

Beliau berkata, kayuhannya akan bermula di Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum ke Tak Bai, Thailand yang kemudiannya ke Padang Besar, Perlis dan seterusnya mengelilingi seluruh Semenanjung Malaysia.

Datuk kepada 20 cucu itu berkata beliau dijangka menamatkan kayuhan dan tiba di Kelantan pada 10 Julai.

Kali pertama Pak Wan mencipta nama dalam MBOR selepas menamatkan kayuhan berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia sejauh 2,200 km pada 28 Feb, 2014.

Pengayuh basikal warga emas Wan Hashim Wan Mahmood, 72, (kiri) bersama jurufoto sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kelantan, Shahuri Awang, 31, (kanan) menunjukkan sijil Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai The Oldest To Cycle Around Peninsular Malaysia selepas berjaya menamatkan kayuhan pada 19 Mei tahun 2017.

Beliau sekali lagi mencipta nama pada Januari 2015 apabila menamatkan misi kayuhan berbasikal ke Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura dan Riau, Indonesia serta jelajah seluruh negara ini sejauh 5,319km.

Sementara itu, dalam misi kayuhan kali ketiganya, Pak Wan disertai jurugambar sambilan BERNAMA Kelantan, Shahuri Awang, 33, sejauh 3,000 km mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand selama 43 hari dan meraih MBOR kali keempat pada tahun lepas dengan mengelilingi negara ini secara solo.

Mengenai persediaan untuk menyahut cabaran itu Pak Wan berkata beliau akan membuat latihan sejam sehari selepas memunaikan solat Tarawih.

“Latihan ini bagi memastikan saya mempunyai stamina untuk cabaran kayuhan kelima nanti. Jadi saya mengambil keputusan untuk tetap menjalani latihan selama satu jam sepanjang bulan puasa ini selepas selesai solat Tarawih,” katanya.

Dalam pada itu Azran Fitri berkata misi Pak Wan kali ini turut membawa mesej berkaitan kepentingan mendapatkan maklumat yang benar kepada masyarakat menerusi Kempen Kesedaran Maklumat oleh Kemudi.

Katanya, Pak Wan akan mengedarkan risalah yang tertera laman web semua media berdaftar negeri ini sepanjang misi kayuhan kelimanya.

“Usaha ini bagi memberi kesedaran kepada orang awam agar memilih saluran berita atau media arus perdana yang sahih. Pada masa sama ia akan mendidik masyarakat tentang kesan negatif daripada menerima dan menyalurkan maklumat tidak tepat,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast