Sebanyak 42 kes baharu keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli di premis di Kupang, Baling telah direkodkan sehingga kini. - KP Kesihata, Datuk Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,622 kes denggi dilaporkan berlaku di seluruh Malaysia, bagi minggu ke-17, iaitu pada tempoh 21 sehingga 27 April, tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik itu menunjukkan penurunan 1.0 peratus, berbanding 1,638 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya, jumlah kumulatif kes denggi meningkat 122.6 peratus pada tahun ini, iaitu 43,065 kes berbanding 19,348 bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kumulatif kematian akibat denggi pula membabitkan 67 berbanding 36 bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan 86.1 peratus.

“Manakala, sejumlah 602 lokaliti wabak denggi dilaporkan di seluruh Malaysia pada minggu ke-17,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 103 lokaliti hotspot dilaporkan membabitkan empat negeri iaitu 94 di Selangor, lima di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya serta tiga di Sabah juga satu di Pulau Pinang.

Beliau turut menyarankan umat Islam untuk menjaga kebersihan, terutama pada bulan Ramadan ketika berkunjung ke rumah ibadah.

“Ahli Jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan lingkungan persekitaran rumah ibadah bebas daripada pembiakan Aedes dengan melaksanakan gotong-royong.

“Anda juga dinasihatkan untuk membuang segala bekas yang menjadi punca takungan air dan periksa bumbung masjid serta pastikan palong air tidak tersumbat oleh sampah sarap,” ujarnya. – MalaysiaGazette