Amirul Imran Ahmat
Amirul Imran Ahmat. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta masuk hari ke-15 hari ini.

Saksi ke-29, bekas Penolong Naib Presiden Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) Jabatan Pendapatan Tetap, Amirul Imran Ahmat menyambung kenyataan serta soal balas dengan peguam bela selama sejam lagi hari ini sebelum memanggil saksi ke-30.

Semalam, berlaku sedikit pertengkaran antara Amirul dan peguam bela Najib, Harvinderjit Singh berhubung dokumen yang diberikan kepada panel pelaburan KWAP mengenai pinjaman SRC International.

Harvinderjit berulang kali memaklumkan kepada bekas pegawai KWAP itu bahawa pinjaman untuk SRC International adalah cadangan yang dibuat oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP.

Namun Amirul beberapa kali menafikan dakwaan peguam itu, mengatakan dokumen tersebut hanya disediakan kepada panel pelaburan KWAP untuk dibincang serta mempertimbangkan pinjaman berkenaan.

Apabila Harvinderjit cuba menekannya lagi, Amirul memberitahu peguam bela itu supaya  memberikannya peluang menjawab terlebih dahulu.

Isnin lepas, ketua pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah mendedahkan kepada media, ‘taktik’ menyoal mengasak berkali-kali merupakan antara teknik mereka bagi memastikan saksi tidak dipujuk untuk menukar kenyataan dalam prosiding ini.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa jumlah RM2 bilion pinjaman sekali gus kepada SRC International itu adalah jumlah dana terbesar yang telah diluluskan dalam tempoh tiga tahun empat bulan perkhidmatan beliau di KWAP, tetapi bukan yang terbesar memandangkan KWAP telah diperbadankan.

Terdahulu, saksi itu memberi keterangan bahawa SRC International telah meminta KWAP mengubah cadangan kemudahan hutang pinjaman kedua sebanyak RM2 biion itu daripada membayar secara beransur-ansur kepada bayaran penuh sekali gus (jumlah penuh).

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa SRC International memerlukan wang tunai RM2 bilion sekali gus itu ada kaitan dengan dua tawaran awam permulaan (IPO), iaitu ETT (Potensi IPO jangka pendek) dan Electrum (Potential IPO jangka pertengahan) yang telah dirancang SRC.

Najib yang tiba 8.50 pagi sebentar tadi mengenakan kot berwarna coklat sempat melemparkan senyuman kepada pengamal media selain bersalaman dengan orang awam sebelum masuk ke bilik perbicaraan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memulakan prosiding jam 9.15 pagi ini. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/07/asak-soalan-kepada-saksi-untuk-lihat-jika-dipujuk-tukar-keterangan-shafee/