Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2019

PUTRAJAYA- Kerajaan berjaya memenuhi 39.1 peratus janji yang telah dibuat bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April lalu.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, prestasi itu diukur melalui status kemajuan 464 inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelasnya, sejumlah 53 berbanding 128 atau 11.42 peratus inisiatif telah ditunaikan manakala 283 atau 60.99 peratus masih di peringkat dalam perancangan atau belum mula.

Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34 peratus berbanding 9.67 peratus pada 31 Disember lalu.

Namun begitu kejayaan terbesar kerajaan menurut beliau adalah mengekalkan keamanan dan kestabilan Malaysia kerana ramai yang bimbang negara ini akan dilanda rusuhan kaum sekiranya Pakatan Harapan memerintah.

“Reformasi dalam undang-undang sudah dilaksana atau sedang dilaksana.

“Semua undang-undang yang zalim dan menekan rakyat sudah dibatal atau dihenti penguatkuasaannya. Pelaksanaan hukum bunuh dihenti sementara meneliti pendapat rakyat yang tidak semuanya bersetuju hukum ini dihapuskan.

“Demikian juga undang-undang berkenaan berita palsu telah digantung sementara menunggu penghapusan.

“Media diberi kebebasan sepenuhnya tanpa perlu menunggu arahan atau pesanan dari pemimpin-pemimpin atau orang suruhan mereka di Putrajaya seperti sebelum ini,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, pertumbuhan ekonomi masih berterusan dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kepercayaan pelabur sudah meningkat.

Janji kembali kepada perjanjian Malaysia tahun 1963 pula telah dilaksana dan diperakui oleh Kerajaan Pusat dengan pengiktirafan Malaysia sebagai cantuman Sabah, Sarawak dan Semenanjung, ujarnya.

Namun begitu, kerajaan menurut Dr. Mahathir terpaksa mengubah keutamaan apabila melihat kerosakan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu terlalu teruk.

Dengan itu, kerajaan ujarnya, perlu membaiki kerosakan tersebut dan menyelesaikan masalah-masalah berkaitannya terlebih dahulu.

“Umpamanya untuk hapus tol Plus sahaja, RM30 billion diperlukan, dan beberapa billion lagi untuk memperbaiki jalan tiap tahun.

“Jika jalan-jalan baru diperlukan kerajaan perlu bangunkan, sedangkan kerajaan terpaksa bayar hutang berbillion ringgit setahun untuk puluhan tahun.

“Namun begitu, walaupun terdapat sedikit kelewatan tetapi kita telah terus berusaha untuk memenuhi janji-janji kita seperti yang terkandung di dalam Buku Harapan – Membina Negara Memenuhi Harapan,” katanya lagi.

Pemerintahan mengikut undang-undang jelas diamalkan oleh PH yang mana pemisahan kuasa antara tiga pihak iaitu pembuat undang-undang, pelaksana pentadbiran dan kehakiman jelas diamalkan.

Inisiatif-inisiatif spesifik telah dilaksanakan untuk kesejahteraan warga Felda dan masyarakat India dan usaha ini sedang dipergiatkan.

Kerajaan juga katanya, yakin dapat membangunkan 100,000 rumah mampu milik pada tahun ini apabila Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan diwujudkan untuk menyatukan gerak kerja semua agensi di bawah satu bumbung.

Majlis itu antara lain akan mengambil langkah-langkah membina satu juta rumah mampu milik dalam masa dua penggal dan menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual, untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menambah, kerajaan masih tidak berpuas hati dengan pencapaian janji untuk menempatkan lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar meskipun buat pertama kali Malaysia memiliki seorang Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara daripada golongan hawa.

“Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk membina negara dan memenuhi harapan rakyat.

“Kita ada empat tahun lagi untuk memastikan semua janji-janji tersebut dapat dilaksanakan dan kita yakin kesemuanya akan tercapai sebelum mandat pemerintahan kita berakhir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast