KUALA LUMPUR – Chef terkenal, Chef Wan tidak ambil kisah dengan kritikan sesetengah pihak yang tidak senang dengan pemerintahan perdana menteri kesayangannya, Dr Mahathir Mohamad.
Sebaliknya tegas Chef Wan, negarawan itu sebenarnya wajar disanjung kerana usahanya menyelamatkan negara daripada menjadi muflis.
“Nak cakap apa sekalipun, beliau sebenarnya adiwira rakyat Malaysia. Menyelamatkan negara ini daripada kebankrapan.
“Satu perkara yang pasti untuk penggal ini adalah kita berjaya membuatkan kerajaan dulu hilang kuasa dan sekarang mereka menyalak siang dan malam,” tulisnya panjang lebar di Instagram.
Sebelum ini, tinjauan Merdeka Centre setakat Mac lalu menunjukkan sokongan terhadap parti pemerintah dilaporkan merosot berpunca daripada dasar-dasar yang lemah selain janji manifesto tidak dikotakan.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Redzuawan Ismail itu berkata, situasi dalam negara sekarang lebih baik berbanding ketika diperintah kerajaan terdahulu yang korup.
“Ya kita mungkin tidak memiliki kerajaan yang sempurna, yang dapat membaik pulih ekonomi dengan cepat selepas pemerintahan Umno.
“Tetapi keadaan ini lebih baik daripada mempunyai kerajaan yang mengamalkan rasuah dan mencuri segala-gala daripada rakyat.
“Ia membawa malu kepada orang Melayu, agama dan negara,” katanya.
Justeru, kata Chef Wan, 61, sekarang adalah masanya untuk rakyat Malaysia bersatu dan membina negara demi menebus maruah.
Walaupun tidak mengaitkan secara langsung, Chef Wan dipercayai secara sinis turut menujukan sebahagian kenyataannya kepada kempen Black 905 anjuran Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam yang bakal berlangsung petang ini.
“Depa (mereka) nak pakai baju hitam ke nak telanjang bogel pun kita peduli apa?
“Kita akan lalu melepasi dan sedikit pun takkan pandang kali kedua pada mereka di akhirat nanti Allah sendiri akan hukum semua manusia yang menzalimi manusia yang lain pun.
“Biaq pi lah,” katanya.
Dia juga mengajak rakyat Malaysia bekerja keras demi membina semula ekonomi negara berbanding menyibukkan diri mengkritik sesuatu pentadbiran.
“Kita yang sayang kan negara seperti saya dengan sepenuh hati akan bekerja lebih keras sendiri untuk membina semula ekonomi negara ini.
“Tak payah la susah sikit merungut!