KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali memberi markah 2/10 kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang genap setahun menyambut pemerintahannya semalam.
Beliau yang merupakan Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata, walaupun jumlah itu juga dianggap banyak tetapi beliau tidak dapat menafikan PH ada membuat sedikit perubahan sepanjang memerintah.
“Saya tidak dapat memberi markah melebihi 2/10 kerana saya tidak tahu apa yang kerajaan PH lakukan sepanjang satu tahun pemerintahannya.
“Yang saya tahu, ada dalam kalangan mereka menggunakan sijil akademik palsu untuk menempatkan diri menjadi menteri, timbalan menteri dan menteri besar.
“Yang saya tahu juga, hampir semua menteri yang jaga kementerian masing-masing menjenamakan semula program sedia ada. Program baharu langsung tidak ada,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi penilaian lima markah daripada 10 terhadap prestasi para menterinya.
Kata beliau, sebagai perdana menteri, beliau cuba mengajar dan membimbing menterinya dan beliau yakin mereka akan menunjukkan prestasi yang dapat menyamai orang berpengalaman jika diberi masa.
Sementara itu, beberapa menteri PH pula mendabik dada menunjukkan kepada rakyat konon kejayaan cemerlang mereka seperti dapat mengurangkan kos sesuatu projek mega yang asalnya bernilai ratusan juta ringgit kepada puluhan juta dan dari puluhan bilion kepada bilion ringgit sahaja.
Menurut Ibrahim, beliau tidak hairan kalau para menteri kerajaan PH gagal menjalankan tugas dan amanah kerana ketika menjadi pembangkang sebelum ini pun mereka berpolitik dengan formula serkap jarang. – MalaysiaGazette