KUALA LUMPUR – Notis penutupan sementara restoran semasa solat tarawih bukan paksaan tapi untuk tujuan didikan, kata Menteri Besar Kelantan.
Datuk Ahmad Yakob berkata, jika ada kedai makan yang tidak dapat berbuat demikian maka tiada tindakan yang akan dikenakan.
Ujarnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengedarkan notis yang meminta kerjasama peniaga terutama penjual colek berbuat demikian dari jam 8.30 malam hingga 10 malam.
“Walaupun notis ini bukan berbentuk paksaan, kita mahu masyarakat mempunyai kesedaran dan (notis) itu mungkin di peringkat permulaan untuk mendidik.
“Kita hanya meminta kerjasama dan memberi nasihat, namun ia terpulang kepada mereka. Keadaan ini akan perlahan-lahan kita ubah dan mungkin akan mengambil masa lama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Madinah Ramadan di Stadium Muhammad IV Kota Bharu semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri berkemungkinan akan mewajibkan arahan tersebut bermula tahun depan.
“Tahun depan kita mungkin buat (arahan menghentikan sementara operasi waktu solat tarawih). Buat masa sekarang kita hanya menasihatkan mereka, bukan lagi arahan sehingga mereka dikenakan denda…(itu) tiada,” ujar Ahmad.
Beliau berkata demikian mengulas arahan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada semua ketua pengurusan PBT melalui surat ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin pada Isnin lalu, yang menimbulkan pertikaian.
Menurut surat itu, arahan berkenaan adalah untuk menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau. – MalaysiaGazette