Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melarang kumpulan anti-vaksin untuk menggunakan mana-mana kemudahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengadakan seminar.

“Jika mereka mahu menyebarkan dakyah mengenai bagaimana hendak membunuh insan yang tidak berdosa, mereka boleh mengadakan seminar di tempat lain.

“Saya tidak membenarkan perkara ini terjadi terutamanya di mana-mana kemudahan milik KBS.

“Kebebasan bersuara ada hadnya,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya hari ini.

Menurut Syed Saddiq, beliau terjumpa sekeping poster mengenai Seminar Realiti Vaksin yang menampilkan Dr. Aishah Mohamed Ali dan Ustazah Nurul Hayati Abd. Latif bakal menggunakan sebuah dewan di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras milik KBS.

Tindakan menteri muda itu menghalang fasiliti KBS daripada digunakan oleh gerakan anti-vaksin mendapat pujian netizen.

“Terbaik YB kerana bersama kami,” kata @DrMahyuddin manakala @sweetjeans2 meminta Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad mengambil tindakan tegas terhadap golongan anti-vaksi di negara ini.- MalaysiaGazette