Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan peserta pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 15 MEI 2019

BANGI – Masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya campur tangan dalam apa jua pelaksanaan dasar dan peruntukan undang-undang Malaysia, kata Presiden PRK, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Putrajaya tidak perlu tunduk pada tekanan masyarakat luar kerana setiap negara ada perlembagaan masing-masing dan ia perlu dihormati oleh mana-mana individu mahupun pemimpin.

“Malaysia perlu ditadbir oleh pemimpin dan sistem yang bebas menjaga kepentingan rakyat dan negara, serta tidak harus tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa luar.

“Mereka (pihak asing) boleh beri cadangan, tapi kita tidak harus tunduk pada tekanan. China buat sesuatu keputusan bukan kerana arahan orang, Amerika Syarikat juga buat keputusan untuk kepentingan negaranya dan tak peduli pandangan lain.

“Kita harus jaga supaya jangan negara ini menjadi tertekan kerana takut reaksi orang luar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Aktor antarabangsa, George Clooney dalam temubual program Ellen DeGeneres secara terbuka menyifatkan tindakan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah membatalkan pelaksanaan hukuman mati terhadap golongan homoseks mengikut perundangan Islam, adalah amaran kepada negara-negara jiran terutamanya Malaysia dan Indonesia yang mahu melaksanakan perundangan sama seperti Brunei.

Bahkan semalam, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya turut membidas kenyataan pelakon filem ‘Ocean Thirteen” itu dengan menegaskan pendirian Malaysia berhubung golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah kekal dengan menolak perkara itu.

Malah Marzuki turut menasihatkan agar Clooney berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Pada Mac lalu, Clooney mengetuai gerakan memboikot hotel milik Sultan Brunei di seluruh dunia, susulan keputusan Sultan Brunei untuk melaksanakan hukuman mati, termasuk direjam dengan batu, terhadap golongan gay.

Pada 5 Mei lalu, Brunei melanjutkan moratorium ke atas hukuman mati untuk undang-undang melarang seks sejenis ekoran kritikan global.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan, selepas melaksanakan undang-undang syariah, 3 April lalu, dengan memperkenalkan hukuman rejam sampai mati untuk kesalahan meliwat, seks luar nikah dan rogol.

Brunei sebelum ini konsisten mempertahankan haknya untuk melaksanakan undang-undang terbabit, ia kali pertama diperkenalkan pada 2014 dan dibatalkan secara berperingkat, sejak itu. -MalaysiaGazette