PUTRAJAYA – Peguam Negara, Tommy Thomas, berkata para hakim mesti sentiasa berusaha untuk membuat keputusan yang tepat tanpa gentar atau memihak, dan tanpa mengambil kira kepribadian pihak-pihak berkaitan atau tertuduh yang dihadapkan di hadapan mereka.
Beliau berkata ini adalah satu-satunya cara bagi badan kehakiman mengembalikan kemuliaan dan kredibiliti dipandang tinggi.
“Jika barisan hakim di Malaysia membuat keputusan yang betul dari semasa ke semasa, keyakinan orang ramai pada umumnya, akan kembali pulih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Pelantikan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara di Istana kehakiman di sini hari ini.
Beliau berkata selama 30 tahun selepas merdeka, badan kehakiman Malaysia mempunyai reputasi tinggi dengan hakim-hakim seperti Ketua Hakim Negara Tun Muhamed Suffian Muhamed Hashim, Raja Azlan Shah dan Hakim Eusoffee Abdoolcader.
“Saya percaya sebab utama mengapa hakim hakim Malaysia dipandang tinggi dalam tempoh ini adalah kerana mereka sentiasa membuat keputusan yang tepat berdasarkan bukti dan lunas undang-undang,” katanya.
Thomas berkata keupayaan Tengku Maimun yang tidak dapat ditandingi dapat menerajui badan kehakiman ke landasan sebenar dan lancar.
Beliau berkata pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara adalah satu pengiktirafan kepada peranan penting yang dimainkan oleh wanita dalam melaksanakan keadilan.
“Wanita mendominasikan fakulti undang-undang dan dan majoriti daripada pengamal undang-undang adalah wanita. Dalam kamar saya, tiga perempat daripada peguam terdiri daripada wanita,” katanya.
Beliau berkata pelantikan Tengku Maimun yang diangkat sebagai Ketua Hakim Negara tidak ada hubungan dengan jantina, tetapi berdasarkan integriti, kebebasan, kecerdasan, ketekunan dan ketrampilannya.- BERNAMA