Sebahagian mahasiswi mengaminkan doa ketika berkumpul di hadapan Menara PTPTN selepas selesai berarak pada Himpunan Tuntut Janji PTPTN di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa selama ini hanya memberi janji kosong dan harapan palsu kepada penuntut dan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ia susulan cadangan PTPTN untuk mengenakan beberapa tindakan ke atas peminjam yang gagal melunaskan peminjaman mereka termasuk mengenakan sekatan ke luar negara semula.

Selain itu, turut dicadangkan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) mengingatkan bahawa Buku Pakatan Harapan melalui 10 janji 100 hari, Janji ke-6 yang berbunyi, “Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam”.

Malah, pemimpin-pemimpin muda PH, termasuklah Syed Saddiq telah berjanji di dalam Buku Pakatan Harapan untuk “Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma” dengan “Menjamin pendidikan awam percuma yang lebih baik di setiap peringkat, bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi”.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menganggap kedua-dua janji tersebut hanyalah cakap-cakap kosong yang tidak akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan. Rakyat, terutama anak-anak muda telah ditipu dengan janji kosong dan harapan palsu,” katanya.

Ketuanya, Shahir Adnan mendakwa, PTPTN di bawah PH banyak membuat pusingan U dan kajian yang tidak habis-habis.

Kronologi PTPTN di bawah PH adalah seperti berikut:
a. Pusingan-U pertama dibuat mengenai iltizam anak muda di mana “Manifesto bukan kitab suci” apabila gagal memberikan pendidikan percuma seperti yang dijanjikan.Najib dan pentadbiran terdahulu disalahkan.

b. Pusingan-U kedua dibuat apabila kajian mahu dilaksanakan berkenaan janji mereka iaitu gaji minimum RM 4000 bagi pembayaran balik PTPTN.

c. Pusingan-U ketiga dibuat apabila peminjam dikeluarkan dari senarai hitam, tetapi berdepan risiko bankrap atau muflis jika tidak membuat pembayaran balik.

d. Pusingan-U keempat dibuat apabila skema pemotongan gaji melalui peratusan yang tidak adil dan munasabah untuk anak-anak muda.

e. Pusingan-U kelima dibuat apabila mereka mahu menyenaraihitamkan semula peminjam supaya tidak ke luar negara. Ditambah pula dengan peraturan zalim untuk mengenakan sekatan ke atas pasport, lesen memandu, dan memperbaharui cukai jalan.

Shahir yakin PH akan membuat pusingan-U seterusnya dan situasi ini hanya memburukkan lagi keadaan anak-anak muda yang makin dihimpit dan ditekan oleh dasar-dasar tidak munasabah.

“Kita harap anak-anak muda mula berfikir dan tidak lagi ditipu oleh janji dan harapan palsu Pakatan Harapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast