Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

PUTRAJAYA – Tindakan akan diambil terhadap sesiapa juga yang merosakkan imej dan kemuliaan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memberikan pandangan serta komen-komen mengenai badan kehakiman kerana tindakan itu boleh memberi akibat besar.

“Perlu diakui kritik-kritik yang tidak berasas terhadap kehakiman akan melemahkan pelaksanaan keadilan dan mengikis keyakinan orang ramai terhadap institusi penting ini,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara yang ke-16 di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata jika terdapat sebarang aduan mengenai salah laku hakim-hakim, beliau menggesa sesiapa yang memiliki maklumat mengenai sebarang dakwaan seumpama itu supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkenaan supaya satu penyiasatan yang betul dapat dilakukan.

“Orang ramai juga boleh menulis kepada saya, Presiden Mahkamah Rayuan atau kepada dua Hakim Besar masing-masing agar kami dapat mengambil tindakan yang perlu,” katanya.

Tengku Maimun berkata adalah merugikan badan kehakiman dan negara amnya jika seseorang itu terus membuat tuduhan-tuduhan liar, terutama dalam media sosial tanpa menggunakan saluran yang betul supaya dakwaan-dakwaan itu dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau berkata hakim-hakim tidak akan memberi maklum balas kepada kritikan dan dakwaan-dakwaan tersebut tetapi mereka akan bercakap menerusi penghakiman mereka.

“Tradisi ini yang bertujuan untuk memelihara keadilan dan rasa hormat kepada mahkamah kita, mencegah seserang hakim daripada terlibat dalam perdebatan awam dengan litigan yang tidak gembira atau pengkritik yang tidak puas hati,” kata beliau.

Beliau berkata demi memelihara integriti kehakiman, tindakan sewajarnya telah dan akan diambil terhadap mereka yang merosakkan imej dan kemuliaan badan kehakiman.

Beliau juga berkata badan kehakiman menghormati dan menghargai hak orang ramai untuk memberi komen terhadap kerja hakim tetapi kritikan terhadap sesuatu keputusan hakim hendaklah dilakukan secara bertanggungjawab dan berdasarkan kepada segala fakta.

Tengku Maimun juga berkata dalam memberi keputusan kepada sesuatu kes, para hakim tidak bertanggungjawab kepada sesiapapun, kecuali hati nurani dan kebijaksanaan mereka sendiri, di mana keputusan-keputusan itu dibuat semata-mata berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh pihak-pihak mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata orang ramai cenderung untuk menyamakan keadilan sebagai keputusan yang memihak kepada orang miskin berbanding orang kaya, orang yang lemah berbanding orang yang kuat atau pembangkang berbanding kerajaan.

“Sudah tentu itu bukan pengukur bagi keadilan. Sesuatu yang salah itu tetap salah tidak kira sama ada ia dilakukan oleh orang kaya atau miskin, yang lemah atau yang kuat, rakyat atau pembangkang, atau kerajaan,” katanya.

Mengenai pelantikannya, Tengku Maimun berkata ia satu keistimewaan dan satu penghormatan besar sebagai wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Malaysia.

Beliau berikrar akan memberi komitmen untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

Tengku Maimun dilihat sebak ketika beliau mengatakan yang beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan mematuhi peringatan-peringatan dalam al-Quran, dalam Surah An’ Nisa ayat 58 dan Surah An-Nisa: ayat 135.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff, Peguam Negara Tommy Thomas, Presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Abdul Fareed Abdul Ghafur, Presiden Persatuan Peguam Sabah Brenndon Keith Soh dan Presiden Persatuan Peguambela Sarawak Ranbir Singh Sangha.- BERNAMA