AUGUSTA – Gabenor negeri Maine menandatangani rang undang-undang yang membolehkan negeri itu menjadi negeri pertama melarang sekolah, kolej dan universiti awam menggunakan simbol Orang Asli Amerika sebagai maskot di semua sekolah awam di negeri itu.
Gabenor Janet Mills menandatangani rang undang-undang yang akan berkuatkuasa dalam tempoh 90 hari selepas badan yang menggubal undang-undang ditangguhkan, lapor CNN.
“Ketika maskot (Red) Indians selalu dipilih untuk mengiktiraf dan menghargai hubungan unik sekolah dengan komuniti Orang Asli Amerika di Maine, kami telah mendengar dengan jelas dan tegas dari suku (Orang Asli Amerika) Maine bahawa mereka merupakan sumber kesakitan dan kesedihan,” kata Mills dalam kenyataan.
Undang-undang itu akan melarang sekolah awam daripada ‘mempunyai atau mengguna pakai nama, simbol atau imej yang menggambarkan atau merujuk kepada individu, budaya atau tradisi suku Orang Asli Amerika dan menggunakannya sebagai maskot, singkatan nama, logo, kepala surat atau nama pasukan sekolah.
Ahli Dewan Perwakilan, Benjamin Collings yang menaja perundangan tersebut berkata, beliau bangga Maine menghormati suku kaum di negeri itu
Pada Mac lalu, lembaga sekolah di Skowhegan mengundi untuk menghentikan penggunaan maskot ‘Indians’ di sekolah tinggi kawasan Skowhegan selepas perdebatan penuh emosi berlaku.
Sekolah di kawasan itu dilaporkan merupakan sekolah terakhir di negeri tersebut menggunakan maskot Orang Asli Amerika.
Beberapa negeri mengenakan had penggunaan maskot Orang Asli Amerika atau telah menggubal resolusi yang mahu menamatkan penggunaannya. – Agensi