Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka menyusut kepada RM4.20 berbanding dolar US minggu depan berikutan kekurangan dagangan susulan cuti umum.

Pasaran akan ditutup pada Isnin untuk cuti Hari Wesak dan Rabu bersempena cuti Nuzul Al-Quran.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia-Pasifik Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, aktiviti pasaran pada minggu yang singkat dijangka perlahan.

“Ringgit akan menyusut ke paras RM4.20 berbanding dolar US sebelum pulih ke paras lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis FXTM, Han Tan berkata, ringgit dijangka bergerak seiring dengan mata wang Asia yang lain, memandangkan sentimen risiko global kekal goyah sementara menunggu hala tuju prospek perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Dengan China dan AS yang dilihat akan mempergiatkkan lagi retorik konfrontasi, risiko mungkin akan terus menyelubungi aset pasaran negara sedang pesat membangun selagi pemuktamadan secara rasminya perdagangan AS-China gagal dicapai,” katanya.

Beliau berkata Asia dikenali kerana bergantung kepada momentum ekonomi China; oleh itu, risiko terhadap prospek di rantau ini tidak harus diketepikan jika ekonomi China mengalami kelembapan berikutan pertikaian perdagangan dengan AS.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar US, terjejas oleh perkembangan rundingan perdagangan AS-China yang tidak menggalakkan dan sikap berhati-hati dengan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama (Q1) oleh Bank Negara Malaysia.

Bagaimanapun, Tan berkata, ringgit adalah antara mata wang yang mencatatkan prestasi lebih baik di Asia minggu ini walaupun sentimen risiko terus menyelubungi pasaran serantau di tengah-tengah peningkatan ketegangan AS-China.

“Ringgit melonjak berikutan pengumuman KDNK Q1 pada Khamis yang membuktikan kekukuhannya, mendorongnya meningkat semula dan kembali diniagakan di atas paras 4.17 berbanding dolar US.

“Namun, teras KDNK Q1 yang lebih baik daripada jangkaan telah memberikan daya tahan kepada asas domestiknya, yang akan diuji sepanjang tahun ini oleh cabaran luaran yang akan menekan pasaran negara sedang pesat membangun,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit jatuh ke paras 4.1750/1780 berbanding dolar US daripada 4.1570/1600 sebelumnya.

Ia diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0335/0368 daripada 3.0503/0534 tetapi menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8051/8093 daripada 3.7843/7880.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3265/3324 daripada 5.4091/4147 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6601/6652 daripada 4.6683/6733. – MalaysiaGazette