Pesawat Boeing 737 MAX 8

JAKARTA – Indonesia memberi bayangan akan menggantung penggunaan pesawat Boeing 737 Max sehingga tahun depan, keputusan yang dilihat mencabar firma pembuat pesawat itu yang kini ‘bertarung’ untuk kembali berada di udara.

Meskipun Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat meluluskan penerbangan semula pesawat itu, Indonesia akan membuat keputusan sendiri selepas menyemak semula masalah yang dibetulkan, kata Ketua Pengarah Penerbangan, Polana Pramesti.

Para juruterbang di negara itu, di mana 737 Max pertama jatuh ketika pesawat Lion Air terhempas ke Laut Jawa, akan menjalani latihan yang lebih ketat sebelum mereka dibenarkan menerbangkan kapal terbang itu.

“Terdapat “banyak isu” dan tidak jelas sama ada pesawat itu akan dapat terbang di Indonesia tahun ini, katanya.

“Saya tidak dapat meramalkan sama ada kami akan terus menggunakan pesawat itu,” katanya dalam satu wawancara.

Boeing enggan mengulas keputusan pengawal selia Indonesia itu, kata jurucakap Boeing di Singapura sambil menegaskan bahawa firma itu telah selesai mengemas kini perisian itu, berkaitam dengan ujian simulator dan kejuruteraan penerbangan.

Boeing akan bekerja dengan FAA untuk menjadual semula ujian penerbangan dan mengemukakan dokumentasi akhir.

China, Kanada dan Kesatuan Eropah pula memberi isyarat mahu mengkaji perubahan ke atas pesawat itu secara bebas sebelum menggunakannya semula.

Pihak berkuasa Korea Selatan juga mahu membuat keputusan sendiri selepas memantau secara rapat tindakan yang diambil oleh pengawal selia di Eropah dan China. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast