KUALA LUMPUR – Melalui pengalaman sukar ketika mula-mula membuka butik beberapa tahun lalu, Nor Bahiah Salleh mengaku adakalanya dua pernah tidur di bawah mesin jahit.
Semua gara-gara keletihan dan tidak mampu mengupah pekerja ketika mula-mula berjinak-jinak dalam industri jahitan pada 2016 namun terpaksa menyiapkan tempahan.
“Sebelum ini, memang seorang terkontang-kanting pernah tidur di bawah mesin, nak menyiapkan tempahan. Sekarang ini sudah ada dua orang staf untuk membantu,” katanya yang mesra disapa sebagai Nobi kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, banyak cabaran untuknya meningkat naik dalam perniagaan termasuklah terpaksa melalui fasa kehilangan ibu tercinta pada tahun 2017.
Perkara itu pada Nobi menjadikan rayanya setiap tahun ‘tidak cukup rasa’ seperti orang lain.
Beliau juga terkilan kerana kejayaannya membuka Butik Alhaq Design tidak sempat dikongsi dengan ibunya.
“Saya rasa masa saya meningkat naik hari ini emak saya tidak ada. Masa awal melibatkan diri dengan bidang jahitan banyak halangan, pandangan masyarakat, emak ada masa itu,” ujarnya.
Nobi yang berasal dari Muar itu pada mulanya bekerja sebagai pengurus kewangan di sebuah bank selama enam tahun.
Beliau kemudian berkahwin pada tahun 2012 dan membuat keputusan untuk berhenti kerja dan kemudiannya mengikuti kursus jahitan di bawah program yang disediakan Giat MARA.
Berkat minatnya yang mendalam sejak berumur 15 tahun, Nobi berjaya menamatkan kursusnya dan kini bukan hanya menerima tempahan untuk baju kurung dan baju Melayu malah mempunyai menjual kurta hasil jahitannya sendiri yang bermutu tinggi. -MalaysiaGazette