KUALA LUMPUR – Bulan Mei hanya berbaki tujuh hari lagi dan kerajaan diminta menyegerakan pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa kedua yang dijadualkan pada bulan ini
Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (Ikatan) berharap kerajaan jangan lupa tentang janji pembayaran BSH itu.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata, bayaran BSH pada bulan Mei itu sekurang-kurangnya akan meringankan beban rakyat yang memerlukan menjelang Hari Raya Aidilfitri pada awal Jun ini.
Shahir berkata, peringatan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Ikatan selepas satu per satu pengumuman dibuat oleh menteri bahawa tiada bonus untuk golongan peneroka dan petani di Felda dan Felcra.
“Bayangkan di saat harga sawit dan getah jatuh merudum, jualan yang tidak seberapa menyebabkan seluruh peneroka dan petani terpaksa mengikat perut untuk hidup.
“Bonus pula tidak diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Harapan terakhir mereka adalah bantuan BaSaH (BSH) yang dijanjikan. Jangan hancurkan harapan mereka, seperti dihancurkan harapan-harapan lain yang dijanjikan di dalam Manifesto Harapan “bukan kitab suci”.
“Kerajaan Pakatan Harapan perlu ingat, masih berbaki 7 hari lagi untuk membuat pembayaran BaSaH kepada rakyat!,” katanya yang menyuarakan kegusaran rakyat marhaen.
Parti itu turut menaruh harapan bantuan kerajaan kepada golongan B40 diteruskan, lebih-lebih lagi harga barangan yang tidak turun walaupun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah dimansuhkan.
Harga barang asas seperti harga telur juga masih melambung tinggi berbanding harganya sebelum PRU-14, dakwanya. – MalaysiaGazette