KUALA LUMPUR – Kedah mengikat pemain tengah kelahiran Australia yang memiliki kewarganegaraan Malaysia, David Rowley bagi mengisi kuota pemain tempatan.
Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan berkata, pemain itu bakal memperkuat skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak bermula Jun ini.
Rowley sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa kelab luar seperti Brisbane City FC (A-League), Inter Leipziq (Divisyen 5 Jerman), Tennis Borussia Berlin, BSC Rehberge Berlin serta beberapa kelab di Thailand iaitu Chumpon FC dan Nara FC.
Pemain berusia 29 tahun itu kemudiannya berhijrah ke Malaysia dan beraksi bersama Negeri Sembilan FA dan Kelantan FA.
Pihak pengurusan mengalu-alukan kehadirannya bagi memberi persaingan sihat buat rakan sepasukan lain dalam memburu kemenangan,” kata KFA dalam satu kenyataan.
Difahamkan Rowley yang bersama pasukan Kelantan pada awal musim ini telah dilepaskan oleh pengurusan kelab berkenaan pada 21 Mei lalu.
Sementara itu, Aidil Sharin berharap Rowley segera menyesuaikan diri dalam pasukan yang kini sedang berusaha keras untuk saingan dalam Liga Malaysia.
“Dia harus sedia bersaing untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.” katanya. – MalaysiaGazette