Shaharizukirnain Abdul Kadir
Shaharizukirnain Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Pendirian Brunei meluluskan hukuman mati terhadap pesalah hubungan sejenis termasuk zina dan rogol pada 3 April lalu mengundang tekanan yang memuncak di peringkat antarabangsa.

Selain pemboikotan beberapa hotel milik negara itu di London dan Los Angeles, Sultan Hassanal Bolkiah turut didesak memulangkan Ijazah Undang-Undang Kehormat yang diperolehi dari Universiti Oxford.

Jelas Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, tindakan itu adalah suatu yang tidak sewajarnya berlaku.

Kata beliau, amat malang apabila dunia Islam, termasuk jiran serantau seperti Malaysia hanya berdiam diri melihat tekanan bertali arus dihalakan ke arah Brunei.

“Sedangkan, apa yang dilakukan oleh Brunei adalah sebahagian daripada pelaksanaan syariat Islam yang wajar didokong oleh umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Agensi berita asing semalam melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah memulangkan anugerah ijazah kehormat yang diterimanya dari University Oxford Britain selepas dikecam dunia termasuk selebriti George Clooney dan Elton John susulan cadangan pelaksanaan hukuman bunuh terhadap kesalahan homoseksual dan zina.

Menurut agensi itu, hampir 120,000 orang menandatangani petisyen sehingga April lalu yang mendesak universiti berkenaan menarik balik ijazah kehormat yang diberikan pada tahun 1993.

Jelas lanjut, Shaharizukirnain berkata, begitulah hakikatnya berada di dunia yang penuh dengan hipokrasi yang bercakap mengenai hak dan kebebasan, tetapi bertentangan dengan tindakan serta praktik mereka sendiri.

Namun, katanya, tidak pelik jika penentangan berlaku di Barat kerana nilai agama tidak lagi dipandang penting dalam kehidupan mereka.

“Jika agama itu sudah tiada nilai, apatah lagi syariat Islam mengenai hukumannya yang dilihat kononnya kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Namun, lebih menghairankan negara umat Islam juga lebih rela mengunci mulut daripada menyatakan kebenaran terhadap syariat Islam yang hendak dilaksanakan di Brunei.

“Apakah kepentingan agama turut tiada nilainya disisi pemerintah dalam kalangan umat Islam hari ini?” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast