Fotografi bersama penyanyi, Dayang Ku Intan di Hotel Pavillion, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 25 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Dayangku Intan melahirkan rasa terharu kerana lagu nyanyiannya berjudul Senandung Hari Raya kekal popular sehingga hari ini malah menjadi parodi dalam kalangan generasi muda.

Penyanyi era 1980-an berusia 53 tahun itu tidak kisah walaupun orang muda sekarang tidak mengenali siapa pemilik lagu tersebut yang muncul setiap kali menjelang Syawal.

Jelasnya, malah ketika dia memperkenalkan dirinya sebagai pelantun lagu itu, ada yang seolah-olah pelik dan tidak percaya.

“Saya terharu kerana kadang-kadang orang tidak kenal sesiapa penyanyi lagu itu.

“Tapi dia orang suka lagu itu dan bila saya kenalkan diri yang saya empunya suara, mereka pelik dan tidak percaya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

MGF25052019_DAYANG KU INTAN65
Fotografi bersama penyanyi, Dayang Ku Intan di Hotel Pavillion, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 25 MEI 2019.

Ditanya tahap kesihatan ketika selepas menjalani pembedahan mendermakan buah pinggang kepada suaminya enam bulan lalu, Dayangku Intan bersyukur dapat kembali melakukan aktiviti harian secara normal.

“Alhamdullah, macam biasa sudah enam bulan dan tidak sakit tetapi kita kena jaga pemakanan dan itu biasalah.

“Suami pun sihat dan saya sarankan siapa yang memerlukan pembedahan buah pinggang agar dipercepatkan proses itu.

“Bila buah pinggang sudah masuk kepada suami, dia adalah kepunyaan saya,” katanya tersenyum.

Pada hujung September lalu, Dayangku Intan selamat menjalani pembedahan mendermakan buah pinggang kepada suaminya, Rosman Yahil, 56, di sebuah pusat perubatan di sini.

Sebelum itu dia mendedahkan mahu mendermakan buah pinggangnya kepada suami yang mengalami masalah kegagalan organ terbabit akibat kencing tikus.

Rosman yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal terkena kencing tikus, namun jangkitan merebak ke bahagian buah pinggang hingga ia gagal berfungsi sejak tiga bulan lalu.

Keadaan kesihatan suaminya yang merosot secara mendadak mendorong Intan untuk melakukan pemeriksaan bagi mendermakan satu daripada buah pinggangnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast