Ben Ali

KUALA LUMPUR – Demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan, Ben Ali umum tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Exco Pemuda dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan akan datang.

Nekad hanya akan memegang jawatan itu sepenggal sahaja, Ben Ali atau Nur Ali Nadzwan, 27 berpendirian niatnya untuk membantu Bersatu mencapai kemenangan pada PRU-14 telah tercapai.

Justeru beliau hanya mahu kekal sebagai ahli biasa sahaja.

“Sekarang fokus saya beralih kepada perniagaan sepenuhnya. Saya akan habiskan sepenggal tugas ini selepas itu sebagai ahli sahaja pada penggal kedua saya tidak akan teruskan jawatan itu.

“Jadi saya tidak akan bertanding pada pemilihan akan datang,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Menyedari jadualnya kini lebih padat hanya dalam bidang perniagaan kek coklat yang diusahakan dengan isteri Nadyah Shahab mengakibatkannya tidak lagi dapat bergerak aktif dalam politik.

Ben Ali mendedahkan pernah menyuarakan hasratnya untuk meletakkan jawatan kepada Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman namun ditolak.

“Saya dah nyatakan hasrat kepada bos saya (Syed Saddiq) untuk melepaskan jawatan sebelum ini tapi tidak benarkan. Jadi atas dasar menghormatinya saya masih dalam barisan exco cumanya sudah tidak banyak terlibat dalam aktiviti parti,” ujarnya.

Nama Ben Ali sebelum ini meningkat naik selepas menceburkan diri dalam bidang lakonan sebelum tidak lagi aktif berkarya selepas bergiat aktif dalam politik.-MalaysiaGazette