Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin parti politik negara ini mengucapkan takziah kepada keluarga Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi tadi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya kepada media hari ini, menyifatkan pemergian tokoh sejarah negara itu suatu kehilangan besar kepada negara.

Katanya, mendiang pastinya akan dikenang sebagai tokoh akademik dan tokoh perpaduan negara yang disegani.

Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, ia merupakan kehilangan besar buat negara yang sukar dicari ganti.

Mendiang, katanya seorang tokoh ilmuwan yang bersifat rendah diri, bukan egoistik dengan kehidupan yang amat sederhana dan senang bergaul dengan semua pihak.

“Bagi parti Putra, Perkasa dan diri saya secara peribadi mengucapkan takziah atas kematian dan kehilangan seorang tokoh sejarah ilmuwan negara yang terbilang ini.

“Saya pernah berhubung serta bergaul rapat dengan mendiang dan menjadikannya pakar rujuk mengenai sejarah tanah air.

“Mendiang memiliki ilmu sejarah tanah air dan ilmu yang dimilikinya tidak pernah dipolitikkan serta tegas mempertahankannya atas prinsip kebenaran sejarah,” katanya sambil mencadangkan Universiti Malaya mewujudkan Kursi Prof Khoo Kay Kim.

Kay Kim, 82, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 10.45 pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsikan oleh isteri dan anaknya dalam satu kenyataan ringkas.

Khay Kim yang merupakan seorang penerima Anugerah Merdeka 2018, meninggal dunia akibat masalah paru-paru.

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu berkata, pagi ini beliau dikhabarkan dengan berita kematian tokoh akademik yang banyak berjasa kepada negara itu.

Katanya, antara jasa besar Kay Kim kepada negara ialah terlibat dalam menulis Rukun Negara, selain banyak mencurahkan baktinya dalam mendidik anak bangsa.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga beliau, Puan Sri Rathi, Eddin, Rubin dan Mavin.

“Khoo pasti akan dikenang kerana sudah banyak menabur bakti kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette