Pengerusi Kaukus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat hari ini menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak memberikan sebarang elaun atau saguhati kepada peneroka Felda sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun pihaknya sedia maklum kerajaan berdepan dengan masalah kewangan namun beliau berharap kerajaan dapat memberi ihsan kepada masyarakat peneroka Felda yang kini berdepan dengan kesempitan hidup.

“Kita mengambil maklum tentang kedudukan kewangan sekarang dan keputusan untuk tidak memberikan apa-apa saguhati dan elaun kepada peneroka Felda.

“Tapi kita minta kalau boleh kerajaan pertimbangkan supaya meringankan sedikit beban dengan memberi sedikit elaun atau saguhati kepada peneroka Felda yang mengalami masalah kesempitan hidup terutamanya dalam bulan Ramadan dan bagi menghadapi Aidilfitri dalam beberapa hari lagi.

“Saya dimaklumkan perkara oleh peneroka Felda sendiri dan kita memang tahu peneroka dalam keadaan resah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerajaan tidak berhasrat memberikan duit raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara berikutan kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan.

Mohamed Azmin sebaliknya berkata, kerajaan sedang memberi keutamaan agar pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat disalurkan kepada para peneroka sebelum Aidilfitri ini.

Sebelum ini, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) meminta agar kerajaan menyampaikan duit raya atau bantuan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini kepada peneroka Felda susulan pendapatan peneroka yang tidak stabil mengikut harga komoditi kelapa sawit semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Anwar juga berkata, isu wang saguhati itu turut dibincangkan dalam Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat hari ini dan sebulat suara mahu kerajaan memberi sedikit duit raya bagi melegakan peneroka Felda.

“Kegelisahan itu benar, orang hadapi masalah di bulan Ramadan, orang ada masalah nak raya, jadi kita fikir kalau boleh dipertimbangkan, bagi sedikit pun tak apa, jadi dia rasa ringan sedikit.

“(Jumlah) terserah kepada kerajaan, masa saya pergi Port Dickson pun di Jempol dan Jelebu, mereka merayu dan memang mereka sedang hadapi masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette