Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Dr. Mohd Daud Bakar bercakap pada sidang media berkenaan hala tuju baharu Yapeim di Ibu Pejabat Yapeim, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menyebarkan berita tidak tepat mengenai organisasi itu.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar berkata, pihaknya akan berbincang dengan peguam untuk menentukan bentuk tindakan yang bakal dikenakan ke atas pihak terbabit.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya masih lagi menggunakan budi bicara untuk tidak mengambil sebarang tindakan, asalkan pihak terbabit bersedia untuk memohon maaf.

“Kita akui ada banyak kelemahan pentadbiran yang lepas, tetapi ada juga fakta yang disebut pihak terbabit dalam laporannya tidak tepat sehingga menjejaskan reputasi Yapeim pada masyarakat.

“Justeru, kita pertimbangkan untuk mengambil tindakan, tetapi kita beri masa dua atau tiga hari atau paling lewat sehingga Jumaat ini untuk mereka memohon maaf,” katanya pada sidang media berkenaan hala tuju baharu Yapeim di pejabatnya di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai status Datuk Abibullah Samsudin, beliau berkata, Ketua Pengarah Yapeim itu masih dalam tempoh penggantungan tugas selama 14 hari bekerja.

Kata Dr. Mohd Daud, penggantungan Abibullah berkuatkuasa 21 Mei lalu akan ditentukan pihak Lembaga Pemegang Amanah Yapeim dalam tempoh terdekat ini.

“Ketua Pengarah masih dalam tempoh pengantungan tugas 21 Mei lalu selama 14 hari bekerja. Kami masih menjalankan siasatan dalaman dan akan buat pemberitahuan kepadanya selepas atau dalam tempoh penggantungannya,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Yapeim mengumumkan penggantungan sementara Abibullah dari menjalankan tugas sebagai ketua pengarah berkuat kuasa serta-merta.

Dr. Mohd Daud memaklumkan, tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan Abibullah.

Kata beliau, sepanjang penggantungan tersebut, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau (Abibullah) untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tugas Ketua Pengarah Yapeim akan dipangku oleh Pengarah Kanannya, Parihah Hasan. – MalaysiaGazette