KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan satu-satunya yang menyebabkan berlaku lonjakan caj bil elektrik yang dikenakan kepada pengguna di negara ini.

Sebaliknya, polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa turut menyumbang kepada kenaikan itu, kata Timbalan Pengerusi Pemuda MCA.

Ini kerana, kerajaan telah menarik balik rebat 1.80sen bagi setiap kWh untuk pengguna domestik dan pengguna komersil berkuatkuasa Julai 2018 sebagai tambahan kepada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus pada bil elektrik.

Tan Chee Hiong berkata, pemansuhan rebat untuk bil elektrik di bawah RM20 setiap bulan pada Januari lalu dan penolakan kerajaan untuk mengurangkan tarif elektrik sejajar dengan kejatuhan harga arang batu dan gas asli cecair (LNG) pada April ini turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini.

“Sebelum ini, apabila tarif elektrik meningkat kepada 0.73, banyak pemimpin Pakatan Harapan telah mengutuk kerajaan Barisan Nasional dan juga mengeksploitasi isu itu untuk menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat.

“Mana perginya ‘hero-hero rakyat” ini sekarang? Di mana suara Rafizi Ramli dan juga Er Teck Kwa yang sebelum ini telah mencipta drama untuk menunjukkan bantahannya terhadap kenaikan tarif elektrik?,” soalnya.

Secara sinis, Tan menggesa ‘hero-hero’ itu merayu kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mempertimbangkan langkah-langkah yang tidak merumitkan rakyat. – MalaysiaGazette