Saksi iaitu Bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman berjalan keluar selepas selesai menghadiri perbicaraan hari ke-19 bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Hari ini masuk hari ke-20 prosiding SRC International membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta selain dakwaan salah guna kuasa serta pecah amanah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Semalam, saksi ke-38, bekas Ketua Pegawai Eksekutif pertama Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) memberitahu Mahkamah Tinggi yang beliau pernah mengadakan pertemuan dengan bekas pegawai khas Najib bagi membincangkan permohonan pinjaman RM3.95 bilion oleh SRC International Sdn Bhd.

Pegawai yang disebutkan itu ialah Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Datuk Azian Mohd. Noh, 66, yang kini bersara dari KWAP berkata, dalam pertemuan itu beliau telah dimaklumkan Najib telah bersetuju dengan cadangan permohonan dari SRC berdasarkan catitan tangan di atas surat tersebut.

Menurutnya, Azlin memaklumkannya telah dibuat oleh Najib sendiri.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff mengenai di mana salinan asal surat itu sekarang, saksi itu tidak pasti kerana salinan itu telah diberikan kepada Pengarah Jabatan Pendapatan Tetap KWAP ketika itu, Allahyarham Ahmad Norhisham Hassan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini dengan jangkaan proses soal balas dengan saksi terdahulu, Dr. Shamsul Anwar Sulaiman dengan pasukan peguambela pula.

Ketua Pasukan Peguam Bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka menjalankan sesi soal balas berikutan tidak dapat menghadirkan diri semalam kerana kes lain di Putrajaya.

Najib yang tiba di kompleks mahkamah seperti biasa kelihatan tenang disambut oleh penyokongnya.

Walaupun tidak ramai namun sentiasa dikelilingi oleh sekumpulan orang yang sentiasa memberi sokongan kepadanya di mahkamah.

Selain penyokong, orang awam yang berada di sekitar kompleks tersebut juga berhenti melihat kelibat Najib yang memakai kot kelabu sambil tidak henti tersenyum kepada wakil media dan sekelilingnya. –MalaysiaGazette