Kamaruzaman Mohamad
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) membayangkan ada sesuatu tidak kena dengan Tommy Thomas apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu peguam Syazlin Mansor meneruskan tugasnya dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sekretariatnya, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan Pejabat Peguam Negara mengugurkan peguam Syazlin daripada kes itu menunjukkan ia melanggari undang-undang.

“Saya kira ini juga satu kebenaran bahawa perbuatan Peguam Negara mengugurkan peguam Shazlin dalam inkues Adib adalah tidak betul dari segi undang-undang untuk mendapatkan jawapan kepada kematian Adib.

“Jadi kita Ummah mendesak supaya pengguguran tugas ini dibatalkan semula dan dibenarkan peguam Shazlin untuk mewakili sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahupun keluarga Adib,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Selalu lalu, Dr Mahathir pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan bahawa peguam Syazlin tidak sepatutnya menarik diri daripada prosiding inkues kematian anggota bomba itu walaupun beliau diarahkan tarik diri daripada mewakili Menteri KPKT.

Dr Mahathir berkata, Syazlin sepatutnya meneruskan tugasnya sebagai peguam bagi keluarga Muhammad Adib jika betul ingin mencari kebenaran dalam kes itu.

Mohd Zai juga berkata, apabila Syazlin dikembalikan dalam inkues berkenaan, pihak mahkamah perlu membenarkan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid dipanggil semula untuk memberi keterangan.

“Walaupun kita kata ada 10 laporan, kita kena benarkan laporan-laporan ini dilihat oleh koroner untuk menjustifikasikan bahawa kematian itu apa sebab sebenarnya.

“Jangan ada dua perbandingan, buang satu ambil satu, tidak, kita mesti terbuka untuk menegakkan keadilan di sebalik kematian ini,” katanya.

Katanya lagi, pengguguran Syazlin daripada inkues Muhammad Adib ini disifatkan sebagai satu penafian untuk mendapatkan keadilan.

“Kerajaan sekarang bertegas untuk menegakkan Rules of Law dan keadilan. Tapi dalam kes ini, kita lihat kerajaan mengelak daripada menegakkan keadilan apabila menafikan keadilan kepada Adib.

“Kalau kita nak tengok betul-betul keadilan, kita kena biarkan prosiding ini berjalan tanpa Peguam Negara buat kacau ganggu dalam proses inkues ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette