Pemandangan di Pelabuhan Klang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Rosnan Fathlal dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Lembaga Pelabuhan Johor (Tanjung Pelepas)(LPJTP) bagi penggal 2019/2021.

Pelantikan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Subseksyen 2(4)(b) Akta Lembaga Pelabuhan 1963

Tempoh pelantikan yang diperkenankan ialah selama dua (2) tahun berkuatkuasa mulai 14 April 2019 sehingga 13 April
2021.

Kementerian Pengangkutan berkata, Yang di-Pertuan Agong juga telah berkenan melantik Ean Yong Hian Wah sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) bagi penggal 2019/2021.

Tempoh pelantikan yang diperkenankan ialah selama dua (2) tahun berkuatkuasa mulai 18 Mei 2019 sehingga 17 Mei
2021.

“Menyedari kepentingan peranan dan fungsi yang dimainkan oleh LPK dan LPJ/LPJ(TP) dalam sektor maritim negara, Kementerian Pengangkutan memberi perhatian yang khusus terhadap perjalanan urus tadbir ketiga-
tiga pelabuhan agar menepati misi dan visi penubuhannya.

“Oleh yang demikian, pelantikan Rosnan Fathlal dan Ean Yong Hian Wah adalah tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Rosnan adalah bekas penjawat awam yang telah berkhidmat di Jabatan Laut Malaysia dan pernah menjawat jawatan Pengarah di beberapa Pejabat Laut Wilayah dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan.

Beliau pernah terlibat dengan pelbagai organisasi antarabangsa seperti International Maritime Organisation (IMO), International Assocation of Lighthouse Authorities (IALA) serta pelbagai jawatankuasa di peringkat antarabangsa berkaitan maritim, selain pernah mengetuai Pasukan Projek Pembinaan 10 buah workboats di Sumber Samudera Shipyard, Teluk Intan dan Projek Pembinaan 7 buah 26m Aluminium Multipurpose Vessel di Kay Marine Shipyard, Kuala Terengganu.

Manakala Yong Hian Wah pula pernah menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor sebagai Exco Kerajaan Tempatan,
Pelaburan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru bagi penggal 2008 hingga 2018. – MalaysiaGazette