Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad (tengah) menunjukkan kenyataan media bersama yang lain selepas membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendesak pihak polis menyiasat Tommy Thomas kerana didakwa menyalahgunakan kuasa serta melindungi pesalah dalam kes kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Timbalan Pengerusinya, Kamaruzaman Mohamad berkata, kali ini pihak polis perlu memberi perhatian serius kerana wujudnya tanda tanya apa yang berlaku dalam kes anggota bomba itu termasuk campur tangan Pejabat Peguam Negara ketika inkues masih berjalan.

“Kami daripada Ummah meminta agar Tommy Thomas disiasat di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan kerana kemungkinan melindungi pesalah (melalui, kacau ganggu ke atas prosiding inkues).

“Beliau juga perlu disiasat di bawah Seksyen 219 Kanun Keseksaan kerana kemungkinan menggunakan jawatan awamnya sebagai Peguam Negara dengan cara tak jujur dan dengan jahat membuat laporan, perintah dan keputusan dalam prosiding inkues bagi menindas keadilan dalam prosiding itu.

“Tommy juga perlu disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kemungkinan beliau menyalahgunakan kedudukan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Pada 3 April lalu, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan afidafit menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib bukan disebabkann oleh dipukul oleh mana-mana orang.

Afidavit itu turut menyatakan pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Muhammad Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.

Tindakan pejabat Peguam Negara telah menyebabkan Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield pada 15 April lalu menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian anggota bomba itu.

Kamaruzaman juga berkata, pihaknya akan membuat laporan polis di seluruh negara bermula di IPD Dang Wangi hari ini dan dalam masa terdekat bagi mendesak pihak polis menyiasat pelbagai salah laku Tommy.

“Kita akan minta Ummah negeri dan mana-mana NGO yang prihatin untuk turut sama buat laporan polis. Hari ini saja dua laporan dibuat dan kita akan pastikan sekurang-kurangnya 14 laporan daripada Ummah negeri.

“Sebenarnya laporan terhadap Tommy Thomas sudah masuk pusingan kedua tapi seolah-olah tiada tindakan diambil sebelum ini.

“Kali ini kita atas pastikan beliau betul-betul disiasat dan tindakan tegas perlu dikenakan jika Tommy menyalahgunakan kuasanya sebagai Peguam Negara,” katanya.

Katanya, susulan laporan polis itu, pihaknya juga akan menghantar memorandum ke pejabat Peguam Negara bagi mendesak Tommy Thomas meletakkan jawatan.

“Esok jam 11.30 pagi kita serah memorandum ke pejabat Peguam Negara di Putrajaya.

“Kita beritahu bahawa beliau tidak sesuai untuk jawatan ini dan beliau perlu bertanggungjawab terhadap kacau ganggu dalam kes Adib ini.

“Dapat respon atau tidak, dia ada atau tidak kita nak jumpa juga kakitangan pejabat Peguam Negara esok,” katanya lagi.

Selain Ummah, Gerakan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) turut akan membuat laporan polis sama terhadap Tommy Thomas.

Selain laporan polis, Ummah turut melancarkan petisyen mendesak Tommy meletakkan jawatan secara dalam talian.

“Setakat ini petisyen itu sudah hampir mencecah 20,000 orang dan kita sasaran sehingga 200,000 orang dalam tempoh sebulan.

“Petisyen itu nanti akan dihantar kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong selepas Hari Raya Aidilfitri bagi mendesak Tommy Thomas dipecat,” katanya. – MalaysiaGazette