Datuk Iskandar Sulaiman Halim
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Sulaiman Halim bercakap kepada media mengenai harga barang menjelang sambutan Aidilfitri di Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 01 JUN 2019.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan harga barang kawalan di seluruh negeri sehingga saat akhir Ramadhan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman yang membuat tinjauan di kebanyakan pasaraya sekitar Lembah Klang hari ini berkata, penguatkuasa akan ditugaskan membuat pemeriksaan sehingga sehari sebelum 1 Syawal.

Pemantauan maksimum ini menurutnya, bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan menjelang saat akhir Ramadan nanti.

“Di Lembah Klang hari ini tapi esok, lusa akan ada pegawai yang buat pemeriksaan kemudian di seluruh negara sampai saat akhir, Selasa itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

WhatsApp Image 2019-06-01 at 1.03.34 PM
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Iskandar Halim Sulaiman membuat tinjauan di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Dalam pada itu, Iskandar menganggap sikap peniaga tahun ini sangat memuaskan.

Bagamanapun katanya, masih ada peniaga yang menaikkan harga barang kawalan seperti yang diterima KPDNHEP pada 28 Mei lalu, iaitu 2 kes jualan bawang di Maran Pahang.

“Di seluruh negara pun sangat bagus kerana kita cuma dapat dua kes yang jual lebih ditetapkan iaitu berlaku di Temerloh iaitu jualan harga bawang besar dan kecil.

“Setakat ini tahun 2019 prestasi pematuhan harga, sangat tinggi,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Jelas Iskandar, bekalan barangan keperluan masih mencukupi dan didapati tiada aduan diterima daripada pengguna.-MalaysiaGazette