Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR –  Datuk Mohd Roze Shaari dilantik menjadi Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu merupakan antara enam pegawai kanan polis terlibat pertukaran jawatan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, Mohd Roze sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Forensik/Databank DNA/Perancangan Strategik JSJ.

Beliau berkata, jawatan lama Mohd Roze digantikan oleh Datuk Muhammad Azlee Abdullah yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) (Perancangan Strategik) Bukit Aman.

“Selain itu, Penolong Pengarah Risikan/Operasi/Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (Stagg), Skuad Taktikal Khas, JSJ Bukit Aman, ACP Gan Tack Guan bertukar jawatan ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sebagai Penolong Pengarah Narkotik (Tahanan).

“Jawatan baharu Gan sebelum ini digalas oleh ACP Mit Emong yang bertukar jawatan sebagai Ketua JSJN Kelantan,” katanya.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor ACP Hamzah Buman bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah (Pembangunan Kerjaya), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Timbalan Ketua JSJ (Siasatan/Perundangan) Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali pula bertukar jawatan ke Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Sarawak. – MalaysiaGazette