Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (dua kanan) diiringi Pengerusi Parti AMANAH Kepong, Mohd Noor Ali Akbar (kanan) beramah mesra dengan salah seorang penunggang motorsikal pada Program Beri Minyak Percuma kepada Penunggang Motorsikal 150cc kebawah dan beri duit raya di Stesen Minyak Caltex Kepong, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pemberian petrol secara percuma kepada penunggang motosikal berkuasa 150cc ke bawah antara kaedah paling terbaik untuk menyantuni serta mendekati golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, langkah itu bagi memastikan token dalam bentuk minyak percuma itu benar-benar dinikmati oleh golongan B40 khususnya meringankan beban semasa musim perayaan ini.

“Walaupun ini bantuan sedikit, kita harap ia dapat beri mesej kepada mereka bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ambil berat golongan B40.

“Kebanyakan pemilik motosikal 150cc ke bawah ini kita percaya dalam kalangan B40. Kita harap bantuan ini dapat diterima baik oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Isi Minyak Percuma anjuran Amanah Kepong di Stesen Minyak Caltex, Jalan Kepong, di sini, hari ini.

Lip Eng berkata, usaha itu adalah kesinambungan daripada program anjuran pejabatnya tahun lepas sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Ketika itu program kami dapat sambutan menggalakkan di mana seramai 2,000 penerima petrol percuma telah mendapat manfaat ini.

“Ini kali kedua sempena hari raya, kali pertama kita khaskan kepada penunggang motosikal penghantar makanan macam Grab Food dan Food Panda.

“Hari ini anjuran Amanah Kepong kita meluaskan kategori untuk motosikal kategori 150cc ke bawah kepada sesiapa saja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kepong, Mohd Noor Ali Akbar berkata, program petrol percuma itu merupakan keprihatinan ahli Parlimen Kepong itu terhadap kesusahan yang dialami masyarakat.

“Kita memilih hari raya untuk pemberian petrol percuma ini bagi meringankan beban bagi orang ramai menggunakan motosikal untuk balik ke kampung.

“Kita merasakan inilah sumbangan kepada masyarakat dan program ini akan berterusan tanpa mengira perayaan atau suasana,” katanya.

Program Minyak Percuma di Stesen Minyak Caltex, Batu 8 Jalan Kepong bermula dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang hari ini.

Pemberian isian petrol secara percuma itu diberikan kepada semua warganegara Malaysia Tanpa mengira agama dan kaum. – MalaysiaGazette